DARI kiri Park Jeong-min, Lee Je-hoon, Choi Woo-shik, dan Ahn Jae-hong bangga Time To Hunt dipilih ke Festival Filem Berlin 2020. FOTO Netflix Malaysia
DARI kiri Park Jeong-min, Lee Je-hoon, Choi Woo-shik, dan Ahn Jae-hong bangga Time To Hunt dipilih ke Festival Filem Berlin 2020. FOTO Netflix Malaysia
Georgie Joseph

FILEM Korea Selatan berjudul Time To Hunt arahan Yoon Sung-hyun yang ditayangkan di Netflix sememangnya sebuah lagi karya hebat dari negara itu.

Membariskan pelakon muda sebagai teraju utama, sisi gelap dalam filem itu cukup menarik.

Menampilkan Park Hae-soo, Park Jeong-min, Choi Woo-shik, Lee Je-hoon dan Ahn Jae-hong, banyak aspek menjadi kekuatan terutama keserasian mereka sebagai sahabat sehidup semati.

Ibaratnya, begitulah juga nilai persahabatan mereka dalam kehidupan sebenar yang tampak begitu meyakinkan.

Demikian juga dirasakan Lee Je-hoon yang melakonkan watak utama iaitu Jun Seok.

Dalam temu bual bersama RAP baru-baru ini, Lee Je-hoon menyifatkan filem itu sarat dengan elemen mengujakan dirinya untuk menjayakan Time To Hunt.

Malah, dia sangat tidak sabar untuk ke lokasi penggambaran.

"Sebelum saya sempat baca skripnya, saya sudah cukup teruja apabila dapat bekerja dengan pengarah Yoon Sung-hyun selepas filem Bleak Night. Pada pertengahan jalan membaca skrip itu, saya terfikir, adakah ia filem rompakan mengenai orang muda?

ANTARA aksi dalam Time To Hunt. FOTO Netflix Malaysia
ANTARA aksi dalam Time To Hunt. FOTO Netflix Malaysia

"Saya sangat terpesona bagaimana filem itu boleh menampilkan kepelbagaian elemen dari genre berbeza. Ia menjadikan saya jadi ingin lebih tahu bagaimana ia akan dibawa secara visual.

"Pada saat itu, saya cuma terfikir untuk cepat-cepat kumpulkan semua yang terbabit bagi memulakan penggambaran. Ini adalah filem yang begitu hebat selain pelakonnya luar biasa serta kakitangan penggambaran juga mengagumkan," katanya.

Lee Je-hoon tidak menafikan keterujaan itu turut dirasai semua pelakon yang lain apabila masing-masing kagum dengan watak diwujudkan.

Menurutnya, watak yang benar-benar memberikan impak dalam dirinya adalah Han yang dilakonkan Park Hae-soo.

Kekuatan watak itu disifatkannya tersendiri dan bukan calang-calang pelakon boleh melunaskan tugas berkenaan.

"Semua watak yang ada memang sangat hebat, tapi cita-cita saya jika diberi pilihan adalah untuk menjayakan watak Han. Han adalah watak yang hanya boleh dilakonkan sesetengah pelakon.

"Ia menyerlahkan tenaga, karisma dan kemunculan yang tersendiri tanpa perlu diperjelaskan dengan nyata. Apabila melihat sendiri Park Hae-soo bawa watak itu, saya melihatnya sesuatu yang begitu menarik," katanya.

Walaupun dikira filem baru, Time To Hunt sudah memiliki pencapaian yang amat membanggakan.

FILEM arahan Yoon Sung-hyun ini berlatar belakangkan Korea Selatan yang gelap. FOTO Netflix Malaysia
FILEM arahan Yoon Sung-hyun ini berlatar belakangkan Korea Selatan yang gelap. FOTO Netflix Malaysia

Ia turut dipilih untuk ditayangkan di acara berprestij Filem Festival Berlin 2020 pada Februari lalu.

Ia semestinya memberi keceriaan kepada semua yang terbabit selepas bertungkus-lumus memastikan naskhah itu mendapat perhatian dunia.

Lee Je-hoon sendiri mengakui masih tidak percaya dengan pencapaian terbabit.

"Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan menjalani hidup sebagai pelakon filem profesional atau berada di tahap sekarang mencapai impian ini. Dapat berada di Berlin satu pengalaman yang sangat menyentuh emosi saya.

"Pengalaman itu sangat di luar jangkaan dan saya tidak akan pernah lupa saat dapat berjalan di karpet merah bersama Yoon serta pelakon lain. Saya pasti akan terus bekerja keras untuk dapat peluang ke acara sebegitu menerusi projek seterusnya," katanya.

Sementara itu, Yoon Sung-hyun berkata, dia mengakui kejayaan filem itu berpunca daripada sikap bersatu hati antara semua yang terbabit.

Menurutnya, pengalaman di lokasi penggambaran juga sangat berbeza.

Ketika pengarah lain akan cuba serius dan meletakkan jurang bersama pelakon, itu tidak berlaku pada dirinya.

LEE Je-hoon sifatkan filem itu sarat elemen mengujakan dirinya. FOTO Netflix Malaysia
LEE Je-hoon sifatkan filem itu sarat elemen mengujakan dirinya. FOTO Netflix Malaysia

Katanya, dia menjadi cemburu apabila mendengar pelakon terbabit mengambil peluang bersuka ria di set dan menyertai mereka.

"Saya rasa atmosfera di set sangat berbeza mengikut hari tertentu. Saya akui, filem ini sangat mencabar dengan bajet yang terhad, perlukan usaha lebih dan pertama kali merasa ia satu pengalaman agak sukar buat diri saya.

"Biasanya, pengarah hanya akan duduk sendirian, tapi saya ikut serta dengan pelakon serta kru bermain pelbagai permainan. Kami juga kerap bergurau sesama sendiri dan saya suka berborak dengan mereka," katanya.

Time To Hunt berkisar mengenai sekumpulan sahabat yang memutuskan untuk melakukan rompakan besar bagi mendapatkan wang mudah.

Mereka mahu menggunakan wang terbabit untuk mencari kehidupan lebih baik di luar Korea Selatan.

Disebabkan kejatuhan ekonomi yang teruk melanda negara itu, mereka tiada cara lain selain untuk meneruskan misi terbabit.

Bagaimanapun, ia baru permulaan sebuah mimpi ngeri dalam hidup mereka apabila seorang pemburu misteri muncul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:00 AM