Syazwan Msar


BADAI tunggakan gaji akibat pandemik Covid-19 tidak mengenal pasukan berstatus gergasi atau sebaliknya apabila dikhabarkan skuad Pahang terkena tempias menghadapi masalah pembayaran kepada pemain dan pegawai pasukan sejak Mac lalu.

Walaupun perkara terbabit kurang berlegar di media sosial, sumber rapat pasukan itu akhirnya membuka mulut mengesahkan pemain dan pegawai pasukan menerima gaji terakhir untuk bulan Februari.

Situasi bertambah runcing apabila skuad Tok Gajah turut menghadapi masalah kekurangan dana untuk menyelesaikan masalah terbabit, sekali gus menyaksikan pemain dan pegawai pasukan terpaksa berputih mata dan terpaksa berbelanja ala kadar bagi menyambut Aidilfitri.

"Pemain dan pegawai pasukan hanya memendam saja perkara terbabit dan hingga kini mengharapkan pengurusan dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

"Jika diikutkan masalah itu menyebabkan beberapa tonggak Pahang terutama yang akan tamat kontrak pada hujung tahun ini 'angkat kaki' atau pertimbangkan untuk ke pasukan lain.

"Melihat situasi semasa dengan Liga Malaysia (Liga M) masih lagi tidak boleh dijalankan dalam masa terdekat menyebabkan keadaan skuad Tok Gajah dilihat semakin goyah dan tidak mustahil ramai pemain berstatus bintang akan lari meninggalkan pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Skuad bimbingan Dollah Salleh itu 'menyertai' Melaka, Kelantan dan Kedah yang menghadapi masalah pembayaran gaji ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Pasukan yang menjuarai Piala FA 2018 itu sebelum ini dilihat sudah menghadapi masalah kewangan musim ini apabila pada saat akhir melepaskan tonggak pertahanannya, Matthew Davies ke Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bercerita lanjut, beliau berkata, ada wakil daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) merisik pemain naturalisasi pertama negara dan tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh, namun perbincangan lanjut masih lagi berjalan.

"Dikhabarkan Sumareh mungkin meninggalkan Pahang, namun bukannya hanya disebabkan tamat kontrak bersama skuad Tok Gajah, tapi lebih kepada masalah pembayaran gaji yang dilihat membelenggu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:35 AM