Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah melakukan 2,021 pemeriksaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di premis perniagaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 1,972 didapati mematuhi SOP ditetapkan, manakala 146 premis lagi diberi nasihat.

"Sementara tiga lagi premis diberi amaran kerana ketidakpatuhan SOP.

"Sehubungan itu, kerajaan ingin menasihat dan menggesa pengusaha supaya terus mematuhi SOP untuk mengelakkan premis mereka ditutup," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pengunjung turut dinasihati supaya mematuhi SOP ditetapkan kerajaan, dan diminta tidak membawa anak kecil dan warga emas setiap kali membeli belah kerana mereka berisiko tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga semalam penguat kuasa KPDNHEP sudah membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 973 premis perniagaan termasuk peruncit (766), pemborong (173) dan pengilang (34).

Katanya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara dan mudah diperoleh.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga sudah membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan sepanjang musim perayaan kerana ia dijamin mencukupi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:22 PM