Saipul Adli Mohamad; Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEBANYAK 93 kes baharu jangkitan Covid-19 dan merekodkan 7,970 kes positif keseluruhan dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua 93 kes baharu dilaporkan itu membabitkan penularan di dalam negara iaitu 91 kes bukan warganegara termasuk 55 kes di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan 36 kes dari Kluster Pedas.

Beliau berkata, hanya dua kes dalam kalangan warganegara Malaysia membabitkan satu kes saringan pelajar tahfiz dan satu kes Kluster Pasar manakala tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Terdapat pertambahan 61 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 6,531 kes dengan kadar kesembuhan 81.9 peratus.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,324 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

"Sehingga kini, enam kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 115 kes iaitu 1.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:12 PM