KAFA perlu selesai tunggakan gaji Cassio sebanyak RM629,620.28.
KAFA perlu selesai tunggakan gaji Cassio sebanyak RM629,620.28.
Syazwan Msar


TERDESAK dengan situasi kewangan yang kian meruncing selain mengelak dikenakan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) bercadang memohon diskaun daripada bekas pemain importnya, Francisco Cassio de Jesus berhubung kemelut tunggakan gaji.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Cassio bagi mempertimbangkan perkara terbabit dan berharap dapat dikurangkan berbanding jumlah sebelum ini RM629,620.28.

"Kita memang sudah ada perancangan dan ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Exco yang akan berlangsung minggu depan. Sebelum ini pun, saya ada maklumkan dua cadangan iaitu pelan ansuran dan lanjutan tempoh pembayaran

"Pada masa sama, mempertimbangkan untuk meminta pengurangan dalam jumlah pembayaran tuntutan itu. Berhubung perkara itu, kita akan bincangkan dalam mesyuarat dan dapatkan persetujuan bersama nanti," katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu pintu rundingan dengan pemain itu kembali terbuka dan Kafa perlu mengemukakan cadangan dalam usaha menyelesaikan tuntutan terbabit.

Bagaimanapun, peguam Cassio, Zhafri Aminurashid menjelaskan rundingan semula itu perlu menjalani proses mediasi di Mahkamah Timbang Tara Sukan (Cas) bagi memastikan hak Cassio terpelihara.

Pada masa sama, Muzakkir menjelaskan tabung derma yang dibuka bukan setakat untuk menyelesaikan tuntutan Cassio tetapi ia bertujuan menyelesaikan semua hutang yang ditanggung persatuan itu.

"Kita buka derma bukan setakat untuk Cassio tetapi untuk menyelesaikan semua hutang yang sedang dihadapi dan juga hutang akan datang," katanya.

Untuk rekod, Kafa berdepan satu lagi tuntutan daripada bekas pemain importnya, Bruno Lopes yang berjumlah RM141,103.60 dan difahamkan, beberapa kes lagi turut dipanjangkan ke Fifa membabitkan tuntutan lebih RM2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:35 AM