X
MUHAMMAD Adam Danish. FOTO ihsan keluarga
MUHAMMAD Adam Danish. FOTO ihsan keluarga
Hazira Ahmad Zaidi


KANAK-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui mati selepas dipercayai terjerut kain tuala di dalam kejadian di Kuala Nal, Kuala Krai, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mayat Muhammad Adam Danish Zaidi ditemui dalam keadaan tergantung dengan sehelai tuala di besi penghadang katil dua tingkat oleh ahli keluarganya.

Lebih memilukan lagi kanak-kanak itu dikatakan meninggal dunia pada malam ulang tahun kelahirannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, sebelum kejadian, ibu mangsa memanggil anaknya yang berada di dalam bilik beberapa kali namun tidak ada sahutan.

"Ibu mangsa mula berasa pelik kerana tidak ada sahutan walaupun beberapa kali dipanggil dan pada masa sama pintu bilik diketuk. Ibu mangsa akhirnya menendang pintu sebanyak dua kali sehingga terbuka.

"Apabila pintu bilik dibuka, didapati anaknya berada dalam keadaan tergantung dengan sehelai tuala di besi penghadang katil dua tingkat dan dia terus memanggil anak sulungnya supaya menghubungi bahagian kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebaik pegawai perubatan hospital tiba, pemeriksaan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

"Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kes ini diklasifikasikan sebagai jenayah atau mati mengejut.

"Jenazah sudah dituntut oleh ahli keluarga selepas selesai urusan bedah siasat pagi tadi," katanya.

Berita berkaitan

Kanak-kanak lelaki maut terjerut di malam ulang tahun kelahiran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:37 PM