Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan terhadap pengeluar yang didapati mengeluarkan peranti pengimbas suhu digital tidak memenuhi spesifikasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai diminta membuat laporan untuk membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

Beliau berkata, setiap peranti berkaitan perubatan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan jika memenuhi piawaian barulah akan dibenarkan untuk digunakan.

"Jika ada penipuan, orang ramai perlu melaporkan kepada KKM dan MDA seterusnya kita akan mengambil tindakan.

"Apa pun, peranti pengimbas suhu digital ada penentu ukuran dan peraturan untuk menggunakannya.

"Kena baca peraturan penggunaan sebelum menggunakan peranti itu," katanya dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham meminta orang ramai melaporkan penggunaan peranti pengimbas suhu digital tidak memenuhi spesifikasi. Gambar kanan laporan eksklusif muka depan Harian Metro. FOTO NSTP
DR Noor Hisham meminta orang ramai melaporkan penggunaan peranti pengimbas suhu digital tidak memenuhi spesifikasi. Gambar kanan laporan eksklusif muka depan Harian Metro. FOTO NSTP

Dr Noor Hisham memberi reaksi itu bagi mengulas laporan ekslusif Harian Metro hari ini menyiarkan, wabak pandemik Covid-19 mengundang penggunaan pengimbas suhu badan digital secara meluas.

Laporan khas muka depan itu mendapati, lambakan pengimbas murah dan tidak mengikut piawaian di pasaran sekali gus memungkinkan bacaan tidak tepat dalam usaha mengawal pandemik maut ini.

Malah, segelintir pengeluar ghairah mengaut keuntungan sanggup menipu dengan meletakkan cip di dalam pengimbas suhu digital infra merah terbabit untuk memaparkan bacaan suhu badan manusia secara tetap dan automatik ketika proses imbasan dilakukan.

Suhu normal yang sepatutnya direkodkan adalah antara 36.6 hingga 37.2 darjah celsius dan penggunaan termometer membolehkan seseorang itu dikesan jika mengalami demam.

Jika alat itu tidak memberikan bacaan sebenar, ia akan mendatangkan risiko dan merbahaya apabila orang yang tidak sihat bercampur gaul dengan orang sihat dalam satu masa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 6:36 PM