AZMAN Kang
AZMAN Kang
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Gerakan Banteras Along Malaysia (GBAM) menerima 10 aduan kes along dari Singapura membabitkan jumlah transaksi SG$180,000 (kira-kira RM540,000).

Pengerusi GBAM Azman Kang Abdullah berkata, rakyat tempatan dikesan menjadi 'tali barut' untuk mengutip hutang bagi kumpulan along daripada Singapura itu.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kebanyakan mangsa mereka pernah bekerja di Singapura sebelum ini dan meminjam wang di negara terbabit sebelum pulang ke tanah air.

Katanya, kebanyakan mangsa membuat aduan berasal dari selatan tanah air yang kini diburu orang suruhan along untuk meminta bayaran pinjaman mereka.

"Kita dapati kes seperti ini menjadi trend sejak lebih setahun lalu dan mereka ini seolah-olah kebal kerana berselindung di sebalik organisasi ceti haram di Singapura.

"Usaha untuk mengadakan perbincangan juga agak sukar kerana along ini tidak dapat dihubungi, sebaliknya hanya mereka yang akan berinteraksi dengan peminjam.

"Setakat ini tiada ugutan, cuma mereka sering mengganggu pengadu untuk meminta bayaran. Bila disemak, sindiket ini berpangkalan di Singapura dan menggunakan warga tempatan sebagai pengutip hutang," katanya.

Azman berkata, GBAM berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib mangsa.

Katanya, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menangani isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 6:55 AM