Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


IBU bapa yang membawa anak mereka keluar untuk beriadah dan ke kompleks beli-belah tidak akan dikenakan tindakan undang-undang berikutan ia tidak diwartakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa golongan kanak-kanak berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

"Sekarang ini sudah boleh (bawa keluar), kita tiada larangan untuk kanak-kanak beriadah dan keluar.

"Peringatan kita janganlah berhimpun beramai-ramai di kawasan riadah, perlu ada penjarakan sosial dan jangan berhimpit serta patuhi SOP (prosedur operasi standard)," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, taman permainan dan kompleks beli-belah dibuka dengan SOP ketat serta perlu dipatuhi termasuk ketika membawa anak masing-masing.

"Tidak ada tegahan tidak membenarkan kanak-kanak pergi untuk membeli permainan bersama ibu bapa di kompleks beli-belah, cuma saya sentiasa mengingatkan jangan bawa berikutan mereka adalah golongan berisiko tinggi.

"Jadi ibu bapa perlu menjaga kepentingan anak mereka walaupun tiada hukuman kerana tidak diwartakan pun (anak) tidak boleh dibawa keluar untuk ke restoran atau kompleks beli-belah," katanya.

Menurutnya, jika ada pihak mengatakan kanak-kanak tidak dibenarkan melihat dunia, dakwaan itu adalah tidak benar.

"Sudah lama kita benarkan mereka melihat dunia, cuma ibu bapa perlu pastikan anak dijaga dengan baik supaya terhindar daripada Covid-19," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 4:05 PM