Agensi

PELAKON Laudya Cynthia Bella, 32, mengesahkan dia sudah bercerai dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 45, hari ini sekali gus menjawab teka-teki mengenai status perkahwinan mereka.

Menurut Laudya, keputusan perceraian itu dibuat secara sepakat di antara kedua-dua pihak dan ia dilakukan dengan cara yang baik.

"Berhubung berita teka-teki mengenai rumah tangga kami, saya ingin menjelaskan bahawa kami berdua sudah sama-sama sepakat untuk berpisah secara baik.

"Sudah pelbagai usaha kami lakukan yang kami lakukan dan ini adalah takdir Allah SWT. Rumah tangga kami hanya sampai di sini. Segala proses kami juga lalui dan saat ini semuanya sudah selesai.

"Dua tahun beliau menjadi suami saya, banyak sekali kebaikan, hikmah dan pembelajaran yang saya peroleh. Insya-Allah semua itu saya jadikan bekalan, boleh saya simpan untuk menjadi wanita yang jauh lebih baik lagi," katanya dalam program Insert Pagi.

LAUDYA Cynthia Bella, Engku Emran
LAUDYA Cynthia Bella, Engku Emran

Laudya berharap penjelasan itu dapat menjawab pertanyaan yang menjadi tanda-tanya dalam kalangan ramai selama ini.

Dia juga meminta sokongan semua agar dia dapat terus kuat menjalani kehidupan sehariannya.

"Saya mohon maaf kalau ada kata-kata atau sikap saya yang kurang menyenangkan. Saya perlukan sokongan dari teman-teman semua dan mohon doakan saya," katanya.

Laudya dan Engku Emran melangsungkan pernikahan di Kuala Lumpur pada 8 September 2017.

Selepas sah menjadi isteri Engku Emran, anak kelahiran Bandung, Jawa Barat itu memutuskan untuk tinggal di Malaysia bersama suaminya.

Pasangan ini juga tidak dikurniakan anak.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Engku Emran bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila mesej WhatsApp tidak dibalas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 10:05 AM