Mohamed Farid Noh


PEGAWAI kanan Jabatan Imigresen Johor ditahan polis kelmarin, dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Mydin Pitchay berkata, pegawai kanan berkenaan adalah seorang penolong pengarah Jabatan Imigresen Johor berusia 50 tahun.

Katanya, pegawai berkenaan ditahan di pejabatnya tengah hari kelmarin oleh Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Pegawai kanan Jabatan Imigresen itu ditahan hasil siasatan ke atas tiga pegawai imigresen yang ditahan pada 24 Jun lalu berikutan bersengkongkol dengan sindiket PATI.

"Ini adalah tangkapan pegawai kanan paling tinggi setakat ini yang terbabit dalam rangkaian sindiket PATI di negeri ini sejak operasi besar-besaran mengekang aktiviti haram itu dilancarkan," katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media di Ibu IPK Johor di Johor Bahru, hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 12:09 PM