X
SHIELLA di hadapan bas persiaran miliknya.
SHIELLA di hadapan bas persiaran miliknya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KUALA LUMPUR: Episod hitam perkahwinan lalu membentuk ibu tunggal, Shiella Tukimin, 48, menjadi wanita besi.

Shiella pernah menjadi mangsa penderaan emosi yang teruk dan diceraikan ketika hamil enam bulan tanpa wang simpanan menyebabkan kehidupan dilaluinya penuh kelam serta terumbang ambing.

Bagaimanapun, duka itu kini berganti gembira apabila dia yang sudah bergelar usahawan mampu memiliki dua bas persiaran selain menjalankan beberapa perniagaan lain seperti menjual kereta terpakai.

Shiella berkata, antara ujian tidak boleh dilupakan ialah ditipu rakan sehingga menyebabkan dia kerugian RM50,000, malah perniagaannya nyaris gulung tikar.

"Sepanjang tujuh bulan saya meratapi kekecewaan ini, setiap hari saya menangis di bawah sinki di dapur rumah ketika anak ke sekolah.

"Sebolehnya saya sembunyikan kekecewaan dan kesedihan ini daripada pengetahuan anak serta keluarga," katanya yang mempunyai dua anak lelaki berusia 22 dan 28 tahun.

Shiella yang berasal dari Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor berkata, disebabkan tekanan itu juga, dia diserang angin ahmar ringan selama 10 hari.

"Saya buntu memikirkan kerugian itu dan mengambil keputusan menjual tiga kereta milik peribadi selain 20 kereta terpakai sebagai modal pusingan untuk memulakan kembali perniagaan kereta terpakai.

"Dalam kepayahan mengharungi ujian itu, saya diperkenalkan dengan skim pembiayaan pinjaman Yayasan Hijrah Selangor dan memperoleh pinjaman RM3,000," katanya.

Enggan menoleh ke belakang dan tidak mengenal erti serik, Shiella bertekad mengembangkan perniagaan melalui perniagaan sewa beli.

Shiella yang juga Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (Witus) berkata, pada 2014, dia membeli sebuah bas persiaran terpakai berharga RM50,000 menggunakan hasil menjual kereta terpakai dan melakukan pelbagai pekerjaan lain.

"Tujuan saya membeli bas ini ialah untuk kemudahan 1,200 ahli Witus bagi menghadiri program ibu tunggal di seluruh Malaysia.

"Seorang ahli dikenakan kadar bayaran minimum RM10. Ia lebih murah berbanding menyewa bas daripada pengusaha luar," katanya.

Menurut Shiella, bas kedua dibeli pada tahun sama untuk perkhidmatan sewaan.

Hasil sewaan digunakan untuk membantu ahli yang dalam kesusahan.

"Saya memasang impian untuk menubuhkan syarikat bas Bumiputera yang diusahakan ibu tunggal berkonsepkan koperasi.

"Melalui cara ini, ahli persatuan boleh memperoleh keuntungan dan syer. Ini membolehkan ibu tunggal mempunyai pendapatan sendiri (melalui keuntungan dan syer) dan tidak mengharapkan sumbangan wang zakat serta lain-lain," katanya.

SHIELLA bersama anak bongsunya, Muhammad Khairul Amal.
SHIELLA bersama anak bongsunya, Muhammad Khairul Amal.

Berkongsi sejarah ringkas perubahan hidupnya, Shiella berkata, selepas diceraikan, dia bekerja di kedai seramik di Ayer Hitam pada sebelah siang dan malamnya, menjadi pembantu kedai makan sehingga jam 2 pagi.

"Namun, pendapatan tetap tidak mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak.

"Saya kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1997 demi perubahan hidup yang lebih baik," katanya.

Menurut Shiella, pada peringkat awal di Kuala Lumpur, dia ditimpa pelbagai dugaan.

"Saya pernah bekerja menjual buku dan origami. Banyak kali dikejar pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana berniaga tanpa lesen.

"Pendapatan pula tidak menentu malah adakalanya terpaksa mengikat perut dan makan mi segera selama seminggu kerana wang tidak mencukupi untuk membeli beras," katanya.

Menurutnya, dia kemudian menerima bantuan RM4,000 daripada Baitulmal dan menggunakan wang itu untuk membeli khemah serta meja bagi menjual buah-buahan.

Shiella kemudian berkenalan dengan seorang rakan sebelum mereka memulakan perniagaan menjual kereta terpakai.

"Bermodalkan wang simpanan RM5,000, saya memulakan perniagaan kereta terpakai pada 2005.

"Walaupun melalui pelbagai ranjau dalam perniagaan menjual kereta terpakai, saya bersyukur perniagaan ini masih bertahan hingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 6:40 AM