Amir Abd Hamid


KEMENANGAN besar dengan majoriti undi sebanyak 12,650 berbanding hanya 4,622 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah kemenangan keenam berturut-turut Barisan Nasional (BN) selepas menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, itu membuktikan mesej daripada rakyat yang menunjukkan BN dan Muafakat Nasional (MN) adalah pilihan terbaik.

"Tahniah YB (Yang Berhormat) Mohd Sharim Md Zain di atas kemenangan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan syabas buat seluruh jentera BN yang bekerja keras selama tempoh berkempen berlangsung.

"Sudah tentu, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pengundi-pengundi di DUN Chini yang terus memberi kepercayaan serta keyakinan kepada BN," katanya menerusi status Facebook (FB).

Status beliau itu susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, memenangi PRK DUN Chini dengan memperoleh majoriti 12,650.

Mohd Sharim memperoleh 13,872 undi, manakala calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, beroleh 1,222 undi dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11.

Pada PRU ke-14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

SPR memaklumkan sebanyak 73.8 peratus daripada 20,816 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab itu di 13 pusat mengundi yang dibuka bermula 8 pagi hari ini.

PRK ini adalah PRK ke-11 selepas PRU Ke-14 dan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac lalu.

PRK DUN Chini turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya berlangsung dalam kebiasaan baharu yang membabitkan pelbagai perubahan dibuat susulan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 10:03 PM
    PEMIMPIN BN berkumpul di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan selepas meraikan kemenangan BN di PRK DUN Chini. FOTO Ihsan Facebook Datuk Seri Wee Ka Siong
    PEMIMPIN BN berkumpul di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan selepas meraikan kemenangan BN di PRK DUN Chini. FOTO Ihsan Facebook Datuk Seri Wee Ka Siong