HUN tidak berasa kontroversi membuatkan seseorang itu lebih popular. FOTO: BLACKPEPPER PRODUCTION
HUN tidak berasa kontroversi membuatkan seseorang itu lebih popular. FOTO: BLACKPEPPER PRODUCTION
Sudirman Mohd Tahir

USIA pembabitannya dalam bidang lakonan masih hijau. Berbekalkan personaliti dan bakat dimiliki membuatkan dirinya berjaya mencipta aura tersendiri.

Dalam tempoh hampir dua tahun saja, pemilik nama Hun Haqeem ini beruntung apabila diberi peluang muncul dalam beberapa naskhah yang menjadi sebutan penonton drama Melayu.

Sekali gus, nama Hun kian meninti di bibir peminat dan menjadi antara bintang baharu yang bakal bersinar. Jika tuah berpihak kepadanya, dia mampu menjadi pelapis kepada hero pujaan ramai sedia ada.

Menyedari hakikat populariti diraih, Hun, 22, atau nama sebenarnya Haqeem Hermy tidak mahu cepat selesa. Pada masa sama, anak jati Kuching, Sarawak ini tidak mahu menjadikan kisah kontroversi atau sensasi sebagai batu loncatan untuk terus dikenali.

"Orang selalu cakap kontroversi dan populariti perlu seiring. Bagi saya, perspektif sebegini 50-50. Saya tidak berasa kontroversi membuatkan seseorang itu lebih popular. Sebab pada akhirnya nanti saya gelarkan diri sebagai pelakon. Jadi, saya nak diterima sebab bakat dan skil lakonan, bukan kontroversi.

"Sebagai contoh, ketika tengah kontroversi dipanggil dan diberikan tawaran. Kalau boleh saya nak elakkan isu sebegini. Kalau ada pun, biarlah kontroversi yang elok. Tapi, kata putusnya, saya nak diberikan tawaran sebab boleh berlakon.

"Alhamdulillah, buat masa sekarang belum ada cerita panas. Tak tahu, nak kata okey atau tidak. Sebab saya ini jenis 'melo' sikit. Jadi tak ambil kisah sangat. Asal saja saya menjaga diri dengan baik dan tidak buat kerja yang bukan-bukan. Lagipun, macam saya ni, suka tolong orang. Mungkin sebab itu tidak ada cerita panas. Kalau ada pun, saya sudah bersedia," katanya.

Bagaimanapun, Hun yang mencipta nama menerusi drama Kampung People berkata, dia sudah tetapkan dalam fikiran dan bersedia berdepan apa saja isu sedari awal melangkahkan kaki dalam dunia glamor ini.

"Saya baru nak masuk dua tahun dalam bidang ini. Kerjaya setakat ini alhamdulillah dan berjalan lancar. Semua okey.

HUN bersedia dengan kemungkinan terpalit apa saja isu sebaik melangkah dunia glamor. FOTO: BLACKPEPPER PRODUCTION
HUN bersedia dengan kemungkinan terpalit apa saja isu sebaik melangkah dunia glamor. FOTO: BLACKPEPPER PRODUCTION

"Dari awal nak berlakon, saya sudah 'set' dalam kepala mengenai perkara ini. Kalau tak, nanti akan susah untuk terima. Maksudnya, sesiapa saja yang nak berlakon atau terbabit dalam industri ini memang kena bersedia," katanya.

Pandai jaga diri

Tidak menetapkan sebarang syarat, Hun berkata pendekatan yang diterapkan dalam diri adalah perlu sentiasa pandai bawa dan jaga diri.

Tidak ada istilah tak mahu berkawan dengan orang lain atau rakan dalam industri. Sebaliknya, kena sentiasa beringat apa matlamat masuk dalam industri.

"Saya baharu lagi, jadi sasaran memang nak tolong keluarga sebab itu saya lebih kepada keluarga. Saya pula suka budak-budak dan ada anak saudara. Jadi, saya banyak luangkan masa dengan mereka. Dengan orang sekeliling sangat jarang.

"Kalau ada masa terluang pun, waktu itu diperuntukan untuk keluarga. Kalau terbabit dalam penggambaran di tempat jauh sekali pun, saya tetap akan ulang-alik.

"Saya ada saja kawan orang biasa dan orang industri, tapi tidak lah sampai nak kena ada masa tertentu dengan mereka. Saya jenis kalau nak jumpa, bila-bila saja boleh," katanya.

Paling penting bagi Hun adalah peringatan dan pesanan keluarga sentiasa tersemat dalam diri.

"Keluarga pun beri peringatan, tapi pada akhirnya nanti, ia berbalik kepada diri sendiri juga sejauh mana kita nak bawa diri.

"Sebab orang lain tak boleh paksa kita buat apa, cuma kalau ada perkara terjadi disebabkan diri sendiri, kita kena bertanggungjawab," katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seni, Hun terbabit dalam penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production bagi tayangan TV Okey.

Selain itu, Hun juga kembali menjayakan watak Jaafar dalam siri Kampung People 2.

"Saya akan berehat sekejap daripada set Dayang Senandung sebab drama Kampung People 2 sudah memulakan penggambaran.

"Momentum untuk kembali melakonkan watak ini masih ada sebab orang pun sampai sekarang bercakap mengenai drama ini. Skrip pun seronok saja baca," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:00 AM