X
SAFAWI menunjukkan baju jenama sendiri yang dijualnya.
SAFAWI menunjukkan baju jenama sendiri yang dijualnya.
Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Dengan hanya menjadi duta dan menjual barangan menerusi media sosial Facebook dan Instagram atlet boleh meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit.

Keadaan itu dilakukan sebahagian atlet di negara ini apabila masing-masing aktif menggunakan platform itu bagi mencari sumber pendapatan tambahan sekali gus boleh bergelar jutawan jika berjaya manfaatkan penggunaan media sosial secara optimum.

Oleh itu, tidak hairanlah pengikut Instagram sesetengah atlet mula menjadi sebutan, malah diikuti netizen hingga ada antaranya mencecah setengah juta pengikut setakat ini.

Populariti dikecapi atlet berkenaan membolehkan mereka menjana pendapatan hingga mencecah puluhan ribu ringgit menerusi jualan produk masing-masing atau menjadi duta kepada syarikat tertentu.

AKHYAR
AKHYAR

Sudah tentu mengungguli carta 10 atlet Malaysia paling popular di laman Instagram adalah tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid yang cukup aktif menggunakan platform berkenaan hampir setiap hari sekali gus merekodkan 812,000 pengikut.

Pemain bola sepak yang berasal dari Dungun, Terengganu itu, sering memuat naik video berkaitan sesi latihan termasuk berhubung dengan peminat menerusi laman Instagram @safawirasid29 selain bijak memasarkan produk baju dan aksesori telefon bimbit keluarannya.

Turut sama boleh dikategorikan sebagai instafamous adalah rakan sepasukan Safawi iaitu Akhyar Rashid apabila turut menjadi tumpuan netizen sekali gus mencatatkan 804,000 pengikut setakat ini.

Populariti bekas pemain Kedah itu mula mendapat perhatian umum selepas kontroversi perpindahan ke JDT selain gambar bersama artis turut tersebar sekali gus menaikkan ratingnya di Instagram.

Selain itu, bekas pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei turut berada dalam senarai tiga atlet paling popular apabila setakat ini mencatatkan 758,000 pengikut di laman Instagram.

Chong Wei yang cukup diingati sebagai pemain badminton yang mengecapi pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa masih mengekalkan jumlah pengikutnya yang ramai berikutan sering memuat naik pengalaman ketika berkecimpung dalam sukan terbabit.

ZAQUAN bersama isterinya yang juga pelakon Ayu Raudhah turut aktif berniaga di Instagram.
ZAQUAN bersama isterinya yang juga pelakon Ayu Raudhah turut aktif berniaga di Instagram.

Jelas sekali, pemain bola sepak lebih mendapat perhatian netizen terutama jika berperwatakan menarik seperti penyerang Kedah Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang 'digilai' peminat wanita seterusnya merekodkan 736,000 pengikut di Instagram.

Suami kepada pelakon Ayu Raudhah itu mula mendapat perhatian umum terutama bergandingan bersama abangnya yang juga tonggak JDT Aidil Zafuan ketika mereka mewakili Malaysia sebelum ini.

Atlet sukan permotoran juga tidak ketinggalan terutama pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah apabila mampu mengekori rapat ahli sukan lain dengan mencatatkan 659,000 pengikut.

Hafizh Syahrin menggunakan platform berkenaan untuk memasarkan produk keluarannya seperti baju selain turut bersiaran langsung bermain permainan video atas talian.

HAFIZH bersama baju dan topi produk keluarannya.
HAFIZH bersama baju dan topi produk keluarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:40 AM