PILIH baju warna 'mustard' untuk kulit album agar nampak lebih ceria, terang dan bersemangat. FOTO Rohanis Shukri
PILIH baju warna 'mustard' untuk kulit album agar nampak lebih ceria, terang dan bersemangat. FOTO Rohanis Shukri
Najiy Jefri

MEMPELOPORI dunia seni nyanyian dan mengeluarkan album baharu, maka tidak hairanlah Datuk Seri Siti Nurhaliza terus digelar penyanyi nombor satu negara.

Penghibur bersuara emas yang sudah lebih 24 tahun bergelumang dalam industri seni nyanyian itu melunaskan janjinya kepada peminat dengan menerbitkan album studio solo yang ke-18 berjudul Manifesta Siti 2020 baru-baru ini.

Album yang memuatkan 11 lagu itu turut memuatkan lima lagu baharu antaranya Takhta Dunia, Aku Bidadari Syurgamu dan Tertulis Nama Kita.

Turut dimuatkan lima lagu yang sudah dilancarkan lebih awal dan sebuah lagu rendiai baharu berjudul Teratai Menjelma nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah lagu Kuasa Cintamu ciptaan Melly Goeslow yang memiliki sentuhan peribadi untuk anak perempuannya, Siti Aafiyah Khalid, kini sudah mencecah usia dua tahun.

"Sebenarnya, semua lagu saya suka tapi kalau ikut sentuhan peribadi saya suka lagu Kuasa Cinta sebab lagu itu ditulis liriknya khas buat anak saya, Aafiyah.

"Dalam lagu itu, saya luahkan segala perasaan dan emosi sepanjang penantian saya mendapatkan Aafiyah. Rasa bersyukur apabila doa saya dimakbulkan Allah SWT untuk dikurniakan cahaya mata.

SITI bersama Pengarah Urusan Universal Muzik Malaysia, Kenny Ong melancarkan album solo terbaharu ManifestaSITI2020. FOTO Rohanis Shukri
SITI bersama Pengarah Urusan Universal Muzik Malaysia, Kenny Ong melancarkan album solo terbaharu ManifestaSITI2020. FOTO Rohanis Shukri

"Selain itu, saya juga suka dengan lagu Tertulis Nama Kita yang juga saya tulis liriknya. Lagu-lagu ini semua membawa maksud saling menghargai dan berkasih sayang antara satu sama lain," katanya.

Ditanya mengenai lagu Teratai Menjelma, Siti berkata, lagu terbabit adalah tribute buat arwah Sudirman.

"Lagu Teratai Menjelma itu saya suka sebab ia menampilkan elemen muzik inang. Sukar juga pada mulanya, sebab kalau nak rakam semula lagu lama, kita kena buat sehabis baik," ujarnya.

Hati Sebak

Ketika majlis pelancaran album solonya yang diadakan di sebuah restoran di Bangsar, Siti dilihat gagal menahan air mata kerana perasaan yang bercampur-baur apabila dapat berkumpul dan bersama selepas melalui hari-hari sukar sebelum ini.

"Sebenarnya, saya gembira kerana tidak menyangka dibenarkan kembali berkumpul dan meraikan majlis ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

"Tambahan pula, kita boleh ibaratkan Julai ini seperti tahun baharu disebabkan pelbagai cabaran kita semua kena tempuh kerana wabak Covid-19," katanya.

Menyentuh mengenai kulit album terbaharunya, Siti memberitahu gambar terbabit mempunyai makna tersendiri selain gambar yang diambil di luar studio seolah melambangkan kebebasan.

SITI  bersama barisan penggubah lagu pada majlis pelancaran album ManifestaSITI2020. FOTO Rohanis Shukri
SITI bersama barisan penggubah lagu pada majlis pelancaran album ManifestaSITI2020. FOTO Rohanis Shukri

"Saya pilih baju berwarna 'mustard' ini supaya nampak lebih ceria, terang dan bersemangat.

"Kali ini saya membuat penggambaran di luar studio, di mana ia berbeza daripada kulit album sebelum ini kerana saya mahukan sesuatu yang nampak bebas.

"Disebabkan kita pun sedia maklum akan situasi genting yang dilalui sebelum ini, jadi album ini melambangkan satu nafas baharu, semangat berbeza dan momentum lebih segar dengan kehidupan normal baharu.

"Saya juga percaya semua orang yang bekerja dalam apa juga bidang berada dalam keadaan tertekan, jadi semua mahu mulakan kehidupan baharu yang lebih segar.

"Kerana itu juga kulit album baharu ini, lebih berkonsepkan gaya hidup," katanya.

Menerusi album terbabit, Siti menggunakan khidmat komposer terkenal seperti Aubrey Suwito, Omar K, Hael Husaini, Ezra Kong, Pown Hasril, Melly Goeslow, Hafiz Hamidun, Ippo Hafiz, John Jeevasingham, Ryan Kyoto, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Sebanyak 1,500 unit album habis dijual sejak tempahan awal yang dibuka pada 29 Jun lalu dan pihak penerbit iaitu Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd terpaksa menambah stok bagi memenuhi permintaan peminat.

LAGU ciptaan Melly Goeslow  terkandung dalam album terbaharu Siti Nurhaliza ungkap perasaan dan emosi  terhadap anaknya, Aafiyah. FOTO Rohanis Shukri
LAGU ciptaan Melly Goeslow terkandung dalam album terbaharu Siti Nurhaliza ungkap perasaan dan emosi terhadap anaknya, Aafiyah. FOTO Rohanis Shukri

Perniagaan Terkesan

Penularan pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada kehidupan Siti apabila perniagaan yang diusahakannya turut terjejas.

"Saya tahu ada rakyat negara ini terpaksa mulakan kerja baharu atau perlu bermula dari bawah dan saya boleh rasakan macam mana susah keadaan itu.

"Macam saya sendiri, saya perlu kekalkan dua bidang iaitu nyanyian dan perniagaan pada masa sama, justeru besar cabarannya.

"Sepanjang PKP lalu, saya sentiasa beri motivasi kepada pekerja-pekerja saya yang terjejas berikutan Covid-19," katanya.

Bagaimanapun, Siti meluahkan rasa syukur dan kagum kerana Malaysia antara negara yang mempunyai usaha terbaik dalam mengekang penularan wabak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 6:00 AM