MANGSA meninggal di lokasi kejadian akibat tersepit pada tayar lori berkenaan bersama motosikal ditunggang. FOTO ihsan pembaca
MANGSA meninggal di lokasi kejadian akibat tersepit pada tayar lori berkenaan bersama motosikal ditunggang. FOTO ihsan pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI dan anak tirinya maut dalam kemalangan motosikal dengan lori simen di Kilometer 90.4 Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran susur masuk Tol Kamunting, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam kejadian yang diterima pihaknya pada 11.30 pagi, mangsa Mohd Subir Mahamad Isa, 54, bersama Mohamad Rayan Danish Abdullah, 8, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit pada tayar lori berkenaan bersama motosikal ditunggang.

Siasatan awal pihaknya mendapati lori dipandu lelaki berusia 53 tahun dari arah Kampung Dew, dikatakan hendak membelok ke kilang yang terletak di kiri jalan sebelum melanggar dan menggilis mangsa.

"Siasatan awal mendapat kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu lori berkenaan.

"Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di bahagian tayar lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat manakala pemandu lori tersebut ditahan untuk membantu siasatan," katanya dihubungi media.

Menurutnya lagi kes disiasat dibawah Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 11. 35 pagi dan mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 4:33 PM