Saipul Adli Mohamad dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TERDAPAT 11 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,476 kes dengan kadar kesembuhan 97.8 peratus.

Beliau berkata, sebanyak lima kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 8,668 kes positif keseluruhan.

"Lima kes baharu itu membabitkan tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warganegara dan satu bukan warganegara iaitu pemastautin tetap (PR).

"Dua lagi kes baharu membabitkan penularan di dalam negara adalah seorang bukan warganegara ketika saringan pekerja restoran di Wilayah Persekutuan dan seorang warganegara yang juga ahli keluarga pesakit di Selangor.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 terus berkurangan kepada 71 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:27 PM