ZARYNN seronok kerana  masih lagi layak diganding dengan bakat baharu dalam industri sekarang.
ZARYNN seronok kerana masih lagi layak diganding dengan bakat baharu dalam industri sekarang.
Ridzuan Abdul Rahman

BARANGKALI ramai yang bersetuju dengan kenyataan bahawa Zarynn Min seorang pelakon yang versatil.

Berilah apa sahaja watak, pasti pelakon bernama sebenar Noraszarinawati Tumin ini mampu membawakannya dengan baik dan berkesan.

Justeru tidak menghairankan apabila kelibatnya sering dilihat menghiasi pelbagai drama yang disiarkan saluran TV, dengan pelbagai watak berbeza.

Zarynn, 40, mengakui bersyukur kerana pada usia sekarang, ditambah dengan ciri wajah serta sosok fizikal yang sederhana rendah, dirinya masih relevan dalam penerbitan drama terkini.

"Rasa seronok kerana saya masih lagi layak digandingkan dengan bakat baharu dalam industri sekarang yang boleh dikategorikan sebagai generasi 'millennial.'

"Berkenaan watak yang sering saya lakonkan sebagai pelakon pembantu hingga kini, ia bukanlah isu utama untuk diperkatakan.

"Pada era pelakon seusia saya masing-masing berumur 20-an dan 30-an, saya dah puas merasa bawa banyak watak utama dan salah satu watak itu melayakkan saya dicalonkan di Asian TV Awards 2011 di Singapura, katanya kepada Harian Metro.

Biarpun tidak berjaya memenangi hadiah utama, Zarynn tetap puas hati kerana berjaya menempatkan namanya sebagai Top 5 dalam persaingan membabitkan barisan pelakon lain dari negara Asia.

"Ia adalah pencapaian peribadi terbaik yang pernah saya raih dan saya cukup berpuas hati.

"Tak semua orang berpeluang merasai pengalaman itu dan bayangkan ketika itu lebih daripada 10 drama yang mempertaruhkan pelakon masing-masing.

"Kalau ada yang bertanya kenapa terima watak pembantu sekarang? Sebabnya pada usia ini, ia amat relevan kerana maklumlah 'treatment' drama terkini lebih cenderung dan terarah kepada cinta anak remaja yang berkahwin muda dan sebagainya, katanya.

Tegasnya lagi, di negara kita amat jarang 'treatment' drama yang fokus pada kehidupan dilema golongan dewasa.

"Paling utama, saya tiada ciri wajah seorang heroin yang kebiasaannya menampilkan watak dengan wajah polos, lembut dan menawan.

"Bentuk muka saya agak 'tajam' untuk watak begitu. Di sini, bukan tiada peluang tapi kita kena faham pasaran personaliti yang sering ditampilkan dalam projek drama di Malaysia.

"Figure dan bentuk rupa saya lebih terarah sesuai untuk melakonkan watak antagonis, katanya.

Bercerita lanjut, Zarynn memberitahu dirinya bermula sebagai kru belakang tabir dan peluang berlakon datang secara tiba-tiba.

"Daripada kerja kru, kawan produksi panggil saya berlakon dan saya pikul tugas itu dengan penuh tanggungjawab.

"Kerja itu amanah. Lama-kelamaan makin banyak peluang saya dapat kerana ramai yakin dengan hasil kerja saya. Malah, reputasi dan disiplin menjadi prinsip utama.

"Memang matlamat utama saya apabila terbabit dalam sesuatu bidang inginkan pengiktirafan dan anugerah. Bukan anugerah popular atau sebaliknya tapi pengiktirafan anugerah berdasarkan kualiti kerja, katanya.

Zarynn berpuas hati kerana pada 2018 berjaya meraih satu anugerah pilihan juri atas lakonan sebagai pembantu menerusi sebuah drama.

"Juri melihat lakonan saya berjaya menyokong watak utama dalam drama terbabit.

"Watak bukanlah ukuran. Sebagai pelakon, menjadi tanggungjawab kita bagaimana nak hidupkan karakter yang diberikan.

"Sebabnya, kita bukan bawa diri sendiri dalam watak itu. Pelakon yang kreatif perlu cipta cara berjalan, makan, berpakaian dan macam-macam lagi. Watak utama atau pembantu sama penting dan saling memerlukan, katanya.

Zarynn optimis suatu hari nanti dirinya akan ditawarkan berlakon watak yang mencabar dan berpeluang dipertandingkan dalam majlis anugerah hiburan.

"Seronok kalau pihak stesen TV dapat bagi peluang untuk penulis dan penerbit buat kisah seperti filem Black Swan dan pelbagai lagi.

"Saya kini terbabit melakonkan salah satu watak utama dalam drama 26 episod berjudul D.M: Delima bersama Chacha Maembong dan Abby Nadzri arahan Khalid Nadzri.

"Ia berkisarkan mengenai tiga wanita berbeza peringkat usia dan status berdepan dengan pahit manis cabaran media sosial, katanya.

Masih status solo

Beralih kepada cerita peribadi, Zarynn yang masih solo mengakui selesa dengan statusnya sekarang.

"Sekarang sukar nak dapat pasangan yang nak susah dengan kita. Situasinya bukan lagi macam dulu-dulu.

"Trend lelaki zaman sekarang ialah mencari wanita bekerjaya, ada wang atau anak seseorang berpengaruh. Kalau setakat biasa-biasa mereka tak sudi.

"Lagipun sejak ada media sosial sekarang, orang kurang menghargai orang lain. Apabila nak kenal sesiapa yang berkenan, boleh cari di Instagram dan Facebook. Zaman dulu, kalau tak dapat nombor telefon, habis begitu sahaja, katanya.

Menurutnya, dia lebih suka berpegang pada konsep mengikut arus tanpa terlalu berharap.

"Kalau ada, adalah tapi saya memang tak cari. Sebenarnya, tak dinafikan saya pernah menaruh minat pada lelaki, namun mereka tak begitu pula.

"Maklumlah siapa yang nak teruskan apabila tahu umur saya. Selain itu, ada juga yang terpengaruh dengan watak saya berlakon.

"Biasanya, saya selalu dapat watak garang. Ini buat orang jadi takut. Adakala orang tak suka juga, sebab saya pelakon yang sekarang ada pelbagai isu, katanya yang lebih pentingkan kerja dan tidak suka mencari musuh dengan sesiapa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:00 AM