HARGA daging lembu wagyu (kanan) lebih mahal daripada lembu biasa (kiri).
HARGA daging lembu wagyu (kanan) lebih mahal daripada lembu biasa (kiri).
Oleh Amir Abd Hamid

BIARPUN bukan satu kesalahan untuk melakukan ibadah korban lembu wagyu yang mencecah RM30,000 bagi satu bahagian namun ia boleh mendapat enam lembu biasa dengan nilai sama.

Keadaan itu sekali gus mampu memberikan manfaat meluas, sekali gus lebih ramai orang miskin boleh merasai daging korban pada perayaan Aidiladha kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selaras konsep korban mengikut keutamaan berdasarkan situasi semasa akibat wabak Covid-19 yang merebak, maka perkara itu perlu diteliti sebaiknya.

Menurutnya, mengikut pengamatan terlalu ramai individu di negara ini memerlukan bantuan terutama untuk merasai daging berharga lebih RM30 sekilogram.

"Jika dilihat dengan nilai RM30,000 itu, sekiranya dihitung menggunakan nilai semasa lembu iaitu kira-kira RM5,000 seekor, maka kita dapat memperoleh sekitar enam lembu biasa.

"Daripada enam lembu ini, sudah tentu ia dapat memberikan manfaat lebih besar dan ramai orang miskin akan dapat merasainya.

"Justeru, tidak salah untuk melakukan ibadah korban dengan lembu wagyu. Tetapi dari sudut perolehan manfaat yang lebih ramai dan besar, maka sudah tentu melakukan ibadah korban dengan lembu biasa adalah lebih utama dalam situasi seperti ini," katanya menerusi Al-Bayan Siri 11 bertajuk Ibadah Korban Dengan Lembu Wagyu di Facebooknya, semalam.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, difahamkan harga satu bahagian korban lembu wagyu baka Jepun itu boleh mencecah hingga RM30,000 di mana dagingnya bergred A5 dengan berat hidup sekitar 800 kilogram (kg).

Menurutnya, setiap peserta akan menerima 50kg daging apabila selesai proses sembelihan dan mereka perlu membayar RM600 bagi satu kilogram untuk daging wagyu.

"Adalah ditegaskan lebih aula (utama) dari sudut Fiqh Aulawiyyatnya [3] untuk memberi makan seramai mungkin kepada golongan asnaf yang memerlukan.

"Dengan cara ini (korban lembu biasa), jelas kita akan dapat membantu golongan masyarakat dalam bilangan lebih ramai. Faedah merasa daging lembu dan korban juga dapat dikongsi bersama dengan lebih meluas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:00 AM