ANTARA yang ditahan ketika sebuah parti lait di Alor Gajah.
ANTARA yang ditahan ketika sebuah parti lait di Alor Gajah.
Oleh Hassan Omar


SERAMAI 37 individu termasuk enam wanita dengan tiga daripadanya warga Indonesia ditahan dalam keadaan lalok dipercayai mengambil dadah ketika meraikan sambutan hari lahir di sebuah rumah di Pulau Sebang di sini, Sabtu lalu.

Hasil ujian air kencing dijalankan mendapati semua mereka yang berusia antara 20 hingga 43 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

Difahamkan, majlis berkenaan dianjurkan sempena sambutan hari jadi seorang daripada mereka yang ditahan itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 12.50 tengah malam sebaik menerima maklumat.

"Semua mereka yang berada dalam rumah teres berkenaan diarah menjalani ujian air kencing dan ujian mendapati semua positif.

"Pemeriksaan lanjut, polis turut menemui 16 pil ekstasi dan satu botol plastik kecil yang disyaki berisi dadah jenis ketamin," katanya.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi semua pertuduhan itu, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurutnya, semua mereka juga dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anggota masyarakat supaya tidak terbabit dalam kegiatan penagihan dadah dan parti liar seumpama itu.

Katanya, PKPP bukan tiket untuk anggota komuniti terbabit dalam perhimpunan terlalu ramai orang.

Menurutnya, ketenteraman awam dan keharmonian sesuatu komuniti juga perlu dijaga apatah lagi pada waktu tengah malam.

Beliau berkata, polis akan terus melaksanakan operasi seumpama bagi membanteras penagihan dadah.

ANGGOTA polis mengambil sampel air kencing semua individu di lokasi.
ANGGOTA polis mengambil sampel air kencing semua individu di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:29 AM