Amir Abd Hamid


DUA pegawai polis antara 14 suspek ditahan dalam serbuan terhadap sindiket dadah di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak, bermula 1 Julai hingga semalam.

Dalam serbuan itu, pelbagai jenis dadah seberat 182 kilogram bernilai RM10 juta, dipercayai untuk pasaran 580,000 penagih turut dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, kedua-dua pegawai yang ditahan masing-masing berpangkat Asisten Superintendan dan Sub Inspektor itu bertugas di Sarawak dan didapati bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, dalam operasi dinamakan Ops Nutcracker itu pihak polis percaya dapat melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah terbesar ke Sarawak setakat ini.

"Semua suspek berusia antara 26 hingga 58 tahun itu ditangkap menerusi 12 serbuan berasingan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak, sejak 1 Julai sehingga semalam.

"Kejayaan operasi ini adalah hasil risikan selama tiga bulan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tidak akan sekali-kali berkompromi, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana warga PDRM yang cuba menjadi duri dalam daging bersekongkol dengan sindiket dadah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ramli menegaskan bahawa walaupun jauh dari Bukit Aman seperti Sarawak namun pergerakan setiap pegawai dan anggota dipantau ibu pejabat PDRM.

"Peranan pegawai polis itu dalam kes ini adalah mereka bersekongkol dengan sindiket dadah. Sarawak bukanlah luar dari jangkauan kita di Bukit Aman.

"Kita tak mahu orang yang kita harapkan menjadi 'duri.' Pemantauan berterusan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JSJN sendiri.

"Malah kita sendiri membuat saringan menerusi Op Duri supaya tidak ada warga PDRM menjadi 'duri dalam daging' terbabit dengan sindiket," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua suspek membabitkan 12 lelaki dan dua wanita tempatan manakala dadah yang dirampas adalah jenis erimin 5, syabu serta ketamin.

RAMLI menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
RAMLI menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, kedua-dua pegawai polis disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala 12 lagi disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

"Semua suspek ditahan reman antara enam dan tujuh hari. Hasil siasatan turut mendapati empat daripada lelaki (suspek) ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan dadah iaitu Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 408 Kanun Keseksaan (KK) pecah amanah, Seksyen 12(3) ADB 1952 memiliki dadah dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

"Dalam Ops Nutcracker ini juga, pada 3 Julai lalu JSJN membongkar makmal dadah di kawasan pedalaman Batang Kali, Selangor yang didapati beroperasi sejak September tahun lalu.

"Makmal ini mampu menghasilkan 70,000 pil erimin 5 dalam satu masa yang bernilai RM1 juta. Kekerapan memproses adalah sebanyak tiga hingga lima kali seminggu," katanya.

Menurutnya, pelbagai aset sindiket juga disita membabitkan nilai RM1.07 juta termasuk sembilan kenderaan, satu motosikal, empat utas jam tangan, wang tunai dan wang di dalam akaun.

Modus operandi sindiket, katanya, menyewa hotel mewah sekitar Kuala Lumpur untuk membungkus semula dadah dalam kotak makanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa di lapangan terbang.

"Kotak dan bungkusan makanan berisi dadah itu akan dibawa 'keldai dadah' berasal Sarawak yang diupah untuk membawa barangan itu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Sarawak.

"Siasatan mendapati sindiket sudah membuat penghantaran sebanyak 28 kali. Setiap penghantaran menggunakan seorang hingga tiga orang 'keldai dadah,'" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 5:15 PM