GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Saipul Adli Mohamad dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TERDAPAT lima kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,481 kes dengan kadar kesembuhan 97.8 peratus.

Beliau berkata, sebanyak enam kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 8,674 kes positif keseluruhan.

"Enam kes baharu itu membabitkan empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang semuanya membabitkan warganegara Malaysia.

"Dua kes penularan di dalam negara turut membabitkan warganegara Malaysia iaitu satu kes saringan di tempat kerja di Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor. Tiada kes dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 terus berkurangan kepada 72 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya menerusi kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 5:17 PM