X
MUHAMMAD Ashraf membelanjakan RM10,000 untuk mentransformasikan imej Khairul Anuar sebagai model dalam pembikinan video YouTube.
MUHAMMAD Ashraf membelanjakan RM10,000 untuk mentransformasikan imej Khairul Anuar sebagai model dalam pembikinan video YouTube.
Redzuan Muharam


DEMI menjayakan projek video pemasaran perniagaan di YouTube, Muhammad Ashraf Khairul Anuar sanggup membelanjakan RM10,000 untuk membeli tiga set persalinan di kedai pakaian dan aksesori terpakai bagi melakukan transformasi imej bapanya.

Menerusi projek itu, Muhammad Ashraf memilih bapanya, Khairul Anuar Anas, 52, sebagai model bagi menggayakan persalinan pakaian dan seluar berjenama terpakai dengan gaya 'hype'.

Penggambaran video itu dijalankan pada 22 Jun lalu sebelum dimuat naik di YouTube, Ashraffanuar TV, kelmarin.

Muhammad Ashraf, 20, berkata, dia sudah lama merancang untuk bekerjasama dengan bapanya bagi menjayakan projek berkenaan dan gembira apabila hasratnya itu tercapai.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, idea untuk menampilkan bapanya sebagai model tercetus selepas melihat video dihasilkan YouTuber dari luar negara.

"Saya kerap melihat video dihasilkan YouTuber luar negara dan antara yang menarik perhatian adalah apabila ada dalam kalangan mereka mengajak bapa mereka menjayakannya.

"Saya lihat, tiada lagi konsep sebegitu di negara ini atau belum diketengahkan, jadi saya rasa tidak salah untuk mencuba.

"Lagipun, saya belum pernah melihat ayah berpenampilan sebegitu kerana selama ini, dia cenderung memakai pakaian kasual," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Ashraf berkata, penggambaran video itu diadakan di pekarangan Stadium Shah Alam, Selangor.

Katanya, sebelum memulakan penggambaran, dia pergi ke beberapa kedai terpakai bagi membeli persalinan sesuai buat bapanya.

"Bagi menyesuaikan dengan konsep video, saya pilih pakaian terpakai tetapi berjenama dan disebabkan itu, nilainya mencecah RM10,000.

"Mulanya, ayah nampak kekok juga untuk menggayakannya, tetapi sekejap saja. Sebagai anak, saya rasa bertuah kerana ayah 'sporting' sejak awal hingga akhir penggambaran diadakan," katanya yang juga usahawan pakaian terpakai dalam talian dan pembeli peribadi.

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, dia sudi melakukan transformasi kerana mahu membantu anaknya menjayakan projek video dirancang.

Katanya, kebiasaannya dia hanya memakai kemeja dan seluar panjang saja, tetapi imejnya berubah 360 darjah pada hari berkenaan.

"Seumur hidup, itu kali pertama saya berpakaian sebegitu dan melakukannya untuk Ashraf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 9:00 PM