X
JAC akan berkongsi apabila tiba masa sesuai lelaki yang berjaya menambat hatinya. FOTO Aizuddin Saad
JAC akan berkongsi apabila tiba masa sesuai lelaki yang berjaya menambat hatinya. FOTO Aizuddin Saad
Syafil Syazwan Jefri

SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga tentunya sentiasa mengharapkan agar ada pengakhiran manis buat hidup mereka.

Namun, tidak semua orang bertuah dan berpeluang melalui bahtera rumah tangga dengan lancar seperti yang dirancang.

Walaupun fasa hidupnya sebagai suami isteri dengan bekas suami, Shawn Rivera tidak berjodoh panjang, penyanyi, Jaclyn Victor tetap bersikap optimistik dalam meneruskan kehidupannya.

Jaclyn atau mesra disapa Jac berkongsi kisah hidupnya selepas mengumumkan mengenai perceraiannya Januari lalu.

"Kehidupan saya sangat bahagia sekarang dan saya rasa lebih gembira. Kalau bercakap mengenai hubungan, ikatan atau perjanjian, saya adalah orang yang sentiasa bersikap optimistik.

"Apabila ikatan perkahwinan tidak menjadi seperti yang dirancang, keutamaan saya kini adalah anak-anak saya dan tak ada 'beribu sesalan'," katanya.

Menurutnya, sebagai manusia, dia lebih mementingkan kebahagiaan dan perasaan gembira berbanding harta dan wang.

"Kebahagiaan adalah sangat penting dan segala-galanya buat saya. Kalau ada semua benda, tapi kita tak gembira dan tak bahagia, tak ada gunanya juga. Saya letakkan anak-anak sebagai keutamaan untuk menjadi pendorong buat saya meneruskan kehidupan," katanya.

Dalam sesi temu bual yang berlangsung di restoran miliknya, Bats, Jac juga terbuka berkongsi mengenai ruang hatinya yang kini sudah terisi.

"Saya tak pernah mencari dan tak merancang apa-apa sebab bagi saya, kalau kita terlalu mencari, kita tak akan bertemu dengan orang yang sesuai.

JAC kini ceburi perniagaan restoran yang dikongsi dengan dua rakannya. FOTO Aizuddin Saad
JAC kini ceburi perniagaan restoran yang dikongsi dengan dua rakannya. FOTO Aizuddin Saad

"Tak sangka pula akan ada orang yang benar-benar boleh menerima saya serta anak-anak saya. Dia betul-betul menjaga anak-anak saya seperti anak kandungnya sendiri," katanya.

Ditanya mengenai lelaki yang menjadi pengisi hatinya itu, Jac enggan mengulas lanjut.

"Apabila saya sudah bersedia, saya akan kongsikan. Yang pasti, dia membuatkan saya rasa seperti tak ada orang lain yang cukup baik untuk datang dan mendekati keluarga kecil saya," katanya.

Jac juga bercerita mengenai restoran yang dimiliki bersama dua rakan kongsinya yang disiapkan dalam masa 15 hari sebelum dibuka kepada umum pada 29 Jun lalu.

"Ini adalah pengalaman baharu buat saya. Menariknya, saya dan rakan kongsi saya siapkan kesemua persediaan restoran ini dalam masa 15 hari saja. Ada yang tanya, kenapa saya tergesa-gesa? Bagi saya, itu bukan tergesa-gesa, sebaliknya saya sendiri mahu mencabar kemampuan diri saya dan saya sendiri berpuas hati dengan hasil akhirnya," katanya.

Berkongsi mengenai pembukaan restoran itu, Jac juga berkata, ia menjadi platform buatnya untuk 'melampiaskan' jiwa penyanyi kelab yang ada dalam dirinya.

"Seperti semua sedia maklum, saya memulakan karier nyanyian saya di pentas kelab sebagai penyanyi dan pada ketika itu, setiap malam saya pernah persembahkan antara 30 hingga 40 lagu.

"Tapi, apabila sudah menjadi artis profesional, persembahan saya hanya memerlukan saya menyampaikan antara tiga hingga lima lagu dan tak cukup sebenarnya untuk saya sendiri rasa puas.

"Jadi, dengan adanya Bats, saya sediakan pentas dan ada grand piano mini yang bakal menjadi platform untuk saya serta mereka yang berbakat dalam nyanyian untuk tampil membuat persembahan," katanya.

Bergelar ahli perniagaan bagaimanapun tidak menjadi petanda bahawa pelantun lagu Gemilang itu bakal memperlahankan kerjaya nyanyiannya.

"Saya tak memperlahankan kerjaya nyanyian, sebaliknya melebarkan sayap saya dalam satu lagi cabang perniagaan.

"Untuk lagu baharu, saya mungkin akan hadir dengan single baharu dan akan bekerjasama dengan Aubrey Suwito," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:00 AM