PENGAWAL keselamatan memeriksa suhu pengunjung pusat beli-belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO FATHIL ASRI.
PENGAWAL keselamatan memeriksa suhu pengunjung pusat beli-belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO FATHIL ASRI.
Saipul Adli Mohamad dan Nurul Hidayah Bahaudin


TERDAPAT 13 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,499 kes dengan kadar kesembuhan 97.9 peratus.

Beliau berkata, sebanyak enam kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan, hari ini dan merekodkan 8,683 kes positif keseluruhan.

"Semua enam kes baharu itu membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu lima warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara yang juga pemastautin tetap.

"Sukacita dimaklumkan, tiada kes penularan di dalam negara hari ini.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 terus berkurangan kepada 63 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 5:49 PM