NERA bersama hasil lukisannya dan dia menunjukkan bakat terpendam walaupun tidak pernah didedahkan dengan teknik melukis. FOTO Ezyan Elias.
NERA bersama hasil lukisannya dan dia menunjukkan bakat terpendam walaupun tidak pernah didedahkan dengan teknik melukis. FOTO Ezyan Elias.
Redzuan Muharam


"SAYA tidak pernah melatih atau mendedahkannya dengan teknik melukis dan itu kali pertama melihat hasil lukisannya," kata pegawai pemaju, Ezyan Elias.

Ezyan, 30, berkata demikian ketika mengulas mengenai rakaman video anak tunggalnya dikenali Nera yang tekun melukis di atas kanvas.

Video berdurasi 18 saat itu tular di laman sosial selepas dimuat naik suaminya di Twitter, Sabtu lalu.

Rata-rata warganet memuji hasil kreativiti Nera dan kagum dengan bakat kanak-kanak itu yang baru berumur dua tahun enam bulan.

Ezyan berkata, dia merakam video itu dan dimuat naik di ruangan Instagram (IG) Story sebelum berkongsi rakaman itu dengan suaminya.

"Sewaktu menuntut di kampus dulu, saya gemar melukis untuk meredakan tekanan, tetapi sudah lama tidak aktif dengan hobi itu.

"Peralatan melukis hanya disimpan di dalam stor rumah dan ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya hanya mengemas bilik itu dan mengeluarkan plastik berisi kanvas dan cat 'arcylic' saja.

"Baru-baru ini, saya berikan kanvas itu dan warna masih boleh digunakan kepada Nera. Tak sangka pula dia boleh melukis dan mewarna dengan baik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ezyan yang menetap di Larkin, Johor Bahru berkata, Nera mengambil masa hampir dua jam untuk menyiapkan lukisannya itu.

Sebagai ibu, dia kagum melihat kreativiti Nera, tetapi tidak menyangka hasil lukisan anak tunggalnya mendapat perhatian meluas hingga ada menyatakan minat untuk membeli.

"Ada lima hingga enam individu menyatakan minat mereka untuk membeli lukisan itu, namun saya tidak menjualnya kerana mahu menyimpannya sebagai kenangan.

"Terlalu awal untuk mengatakan Nera benar-benar bakat melukis, tetapi saya dan suami akan memberi galakan jika melihat kecenderungannya ke arah itu dengan mendaftarkannya masuk ke dalam kelas seni," katanya yang aktif membawa anaknya itu ke perkampungan Orang Asli sekitar Johor Bahru pada hujung minggu untuk mengagihkan bantuan kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 9:00 PM