MD Rayhan Kabir. FOTO Ihsan Imigresen.
MD Rayhan Kabir. FOTO Ihsan Imigresen.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


"JIKA benar pihak berkuasa melayan pendatang asing tanpa izin (Pati) seperti binatang, sila tampil," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau mengulas berhubung seorang lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditemu bual agensi berita antarabangsa, Al Jazeera dalam laporan dokumentarinya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya memberi jaminan keselamatan kepada individu berkenaan dan diminta tampil memberikan kerjasama kepada polis.

"Saya hanya ingin dia jelaskan apa yang dimaksudkan pihak berkuasa melayan Pati seperti binatang.

"Seelok-eloknya dia tampil dan usah menghilangkan diri. Polis sudah mencari di tempat tinggalnya dengan bantuan rakannya," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan diminta untuk berhati-hati.

"Kenapa keluarkan kenyataan tidak berasas, anda boleh cari makan di sini, untuk apa berkata demikian," katanya.

Selasa lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memohon bantuan orang ramai mengesan lelaki Bangladesh dikenali Md Rayhan Kabir.

Pemuda berusia 25 tahun itu dicari bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia's Lockdown dengan Md Rayhan Kabir dilihat mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:39 PM