Anggota bomba memeriksa keadaan SUV yang terbalik di Kilometer 196.5 LPT arag barat di Kuantan hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba memeriksa keadaan SUV yang terbalik di Kilometer 196.5 LPT arag barat di Kuantan hari ini. Foto Ihsan JBPM
Asrol Awang

DUA maut dan seorang cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbalik di Kilometer 196.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat di Kuantan petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan itu berlaku pada 5.05 petang.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenal pasti adalah pemandu Nissan Murano itu, Ahmad Roshidi Halim, 51, dan penumpang belakang, Rajhan Ibrahim, 56.

Katanya, mangsa yang cedera pula, Mohd Wari Mat Zaki, 51, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Ahmad Roshidi dan Rajhan adalah dari Alor Setar, Kedah manakala Mohd Wari pula dari Kangar, Perlis dan mereka itu dipercayai rakan perniagaan," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila SUV berkenaan gagal dikawal sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbalik.

Katanya, kejadian berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, enam pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian didapati tiga lelaki terbabit dalam kemalangan itu dan dua daripadanya sudah meninggal dunia.

"Kami bertindak membawa keluar mangsa yang maut dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 9:29 PM