Lakaran potret Perdana Menteri oleh Mohd Shah menggunakan kicap dan Dr Noor Hisham (kanan) daripada sos cili. Foto Ihsan Mohd Shah Tumin
Lakaran potret Perdana Menteri oleh Mohd Shah menggunakan kicap dan Dr Noor Hisham (kanan) daripada sos cili. Foto Ihsan Mohd Shah Tumin
Ekhwan Haque Fazlul Haque
[email protected]hmetro.com.my

HANYA menggunakan sos cili, kicap dan serbuk kari seorang pelukis kaligrafi mampu menghasilkan potret pemimpin dan selebriti terkemuka tanah air.

Itu kelainan ditampilkan Mohd Shah Tumin, 36, apabila niat sekadar suka-suka menghasilkan potret berkenaan mendapat perhatian dan pujian warganet.

Menurutnya, idea untuk melakar potret itu bermula sejak tiga tahun lalu ketika dia sengaja 'menconteng' permukaan pinggan menggunakan bahan makanan sehingga terhasilnya potret pemimpin negara.

"Saya mula melakar potret Datuk Seri Najib Razak dan beberapa tokoh terkenal tanah air sebelum dimuat naik di laman sosial sekadar untuk berkongsi hasil seni.

"Kini, saya sekali lagi melakar potret pemimpin dan individu yang terkenal dan banyak berkorban ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Shah berkata, dia mengambil masa antara 60 hingga 90 minit untuk melakar potret Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan terkini selebriti Youtube, Sugu Pavithra.

Menurutnya, dia menggunakan kicap sebagai bahan utama untuk melakar potret Muhyiddin manakala sos cili bagi potret Dr Noor Hisham.

"Bagi Sugu Pavithra, saya menggunakan serbuk kari kerana dia kini semakin mendapat tempat dalam kalangan warganet kerana memiliki saluran Youtube sendiri.

"Lakaran potret ini juga saya jadikan antara kandungan terbaru saluran Youtube sendiri kerana mahu mencari kelainan selain berasakan masih belum ada lakaran sedemikian dibuat di Malaysia," katanya.

Mohd Shah cipta kelainan dalam melakar potret dan (gambar kiri) ketika menghasilkan potret selebriti Youtube, Sugu Pavithra menggunakan serbuk kari. Foto Ihsan Mohd Shah Tumin
Mohd Shah cipta kelainan dalam melakar potret dan (gambar kiri) ketika menghasilkan potret selebriti Youtube, Sugu Pavithra menggunakan serbuk kari. Foto Ihsan Mohd Shah Tumin

Mohd Shah berkata, dia tidak menyangka hasil seninya itu menerima sambutan yang hangat daripada orang ramai dan ia menjadi dorongan untuk menghasilkan lebih banyak lagi potret selepas ini.

Dia berkata, dia merancang melakar wajah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri sebagai tanda sokongan keputusan menetapkan Hari Jawi pada setiap Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 8:30 PM