Keadaan periuk dan peti sejuk berulat yang ditinggal rakan penyewa Norazirah di rumah sewanya di Serdang. Foto Ihsan Norazirah Buang
Keadaan periuk dan peti sejuk berulat yang ditinggal rakan penyewa Norazirah di rumah sewanya di Serdang. Foto Ihsan Norazirah Buang
Rosyahaida Abdullah

"SAYA tidak berniat mengaibkan sesiapa tetapi tindakannya meninggalkan rumah dalam keadaan berulat dengan bau busuk umpama bangkai membuatkan kami sangat marah," kata Norazirah Buang, 29.

Dia menceritakan insiden rumah sewa yang ditinggalkannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu dipenuhi ulat dan tikus sebaik dia kembali ke rumah itu minggu lalu.

Menurutnya, semuanya berpunca daripada seorang daripada teman serumahnya yang dipercayai tidak menguruskan rumah dengan baik termasuk membiarkan baki makanan tidak dibuang hinggakan keadaan rumah menjadi sangat teruk.

Katanya, penuntut tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Psikologi di sebuah universiti, bilik yang didiami penyewa terbabit juga bersepah dengan barangan mekap terpakai bertaburan di lantai serta bawah katil.

"Susulan PKP berakhir dan pihak universiti juga mula beroperasi secara berperingkat, saya putuskan untuk pulang semula ke rumah sewa di Serdang dan maklumkan pada penyewa terbabit menerusi WhatsApp.

"Rupa-rupanya, sebelum saya pulang, dia terus maklumkan pada pemilik rumah sewa kami yang dia ingin keluar rumah serta-merta, mungkin dia bimbang terserempak dengan saya.

"Pemilik terus mencari pengganti dan sehari sebelum saya pulang, pengganti itu beritahu dia menunggu saya pulang untuk kemas rumah bersama-sama," katanya.

Norazirah berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka kemas rumah yang dimaksudkan pengganti penyewa itu sekadar untuk pindah masuk rumah seperti kebiasaan.

Bagaimanapun, katanya, apabila pintu rumah dibuka sebaik tiba dari kampung di Melaka, bau busuk mula menusuk ke hidung dengan ulat sudah boleh dilihat secara jelas khususnya di dapur.

"Allah saja yang tahu betapa busuknya rumah kami ketika itu. Selain peti sejuk dipenuhi ulat, terdapat juga tikus.

"Bukan itu saja, almari dapur dan dan pintu bilik juga dirosakkan tikus. Bukan pintu bilik dia saja tetapi pintu bilik saya dan seorang lagi penyewa.

"Mungkin disebabkan tergesa-gesa, barang yang ditinggalkannya sangat banyak. Mungkin juga dia sendiri geli untuk ambil barangnya.

"Ketika itu barulah saya faham kenapa penyewa baru yang menggantikannya menunggu saya pulang untuk berpindah masuk, mujur juga dia masih sudi masuk dalam keadaan rumah sebegitu," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Menurut Norazirah lagi, susulan perkongsiannya di media sosial tular beberapa hari lalu, dia mengakui meminta ihsan warganet untuk membantunya membeli barang dan perkakasan yang sudah rosak di rumah itu.

Katanya, ia hanyalah bertujuan membantu pemilik rumah sewa yang terlalu baik baginya dalam menyediakan semua keperluan terbabit buat penyewa.

"Sejujurnya, kami cuma membayar sewa kami RM450 sebulan sedangkan rata-rata rumah lain di kawasan ini mengenakan sewa RM800 malah ada yang lebih lagi.

"Pemilik rumah sewa kami adalah seorang warga emas. Dia sanggup sewakan pada kadar serendah itu kerana dia cuma mahukan duit sewa yang cukup untuk dirinya dan pada masa sama tidak membebankan penyewa.

"Saya berasa cukup bersalah apabila pada usianya 70 tahun, dia turut membantu kami menurunkan 10 plastik sampah dipenuhi barangan penyewa lama itu ke bawah untuk dibuang.

"Di manalah hati dan fikiran penyewa lama sehingga tergamak lepas tangan begini. Kalaupun dia sudah merosakkan seluruh rumah seperti ini, bertanggungjawablah. Kemas dulu sebelum tinggalkan rumah," katanya.

Dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kata-kata positif malah sudi menghulurkan wang ringgit untuk membolehkannya menggantikan barangan yang sudah rosak di rumah itu.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada individu yang menyumbangkan cat malah ada seorang doktor pakar di Hospital Serdang memberi periuk nasi, pengisar, pemanas air dan dapur gas untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 9:55 PM