X
Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

KLUSTER baharu Covid-19 dikesan di Melaka membabitkan tiga kes positif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Novgorod itu dikesan apabila terdapat kes ketiga positif hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua bagi kluster berkenaan.

"Kes pertama kluster ini adalah seorang warga tempatan (kes ke-8,673) yang pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai lalu.

"Keputusan saringan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati positif dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8,718 merupakan rakan kepada kes pertama. Mereka menaiki pesawat yang sama.

"Keputusan saringan didapati negatif, namun mula mengalami gejala demam dan saluran pernafasan pada 7 Julai. Saringan ulangan didapati positif Covid-19," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, ketibaannya (kes kedua) disambut oleh empat ahli keluarga yang datang bersama-sama dengan menaiki kereta.

"Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes itu (kes ke-8,724) turut dikesan positif Covid-19 selepas mula mengalami gejala demam, menjadikan lelaki itu kes ketiga Kluster PUI Novgorod.

"Sehingga hari ini, tiga kes positif dan 14 orang kontak rapat dikenal pasti dalam kluster itu," katanya.

Menurutnya, semua 14 orang kontak rapat disaring dan dikesan negatif Covid-19 serta aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif diteruskan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 6:39 PM