Foto hiasan
Foto hiasan
Nor Farhani Che Ad

KANAK-KANAK lelaki berusia lima tahun ditemui lemas dalam kolam renang sebuah resort di Pantai Merdeka di Sungai Petani petang hari ini.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, mangsa dikatakan dibawa ke resort berkenaan oleh ibunya yang berusia 19 tahun untuk meminta kerja.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita itu menyedari anaknya tiada bersama ketika menunggu keputusan temuduga terbabit.

"Sebelum itu, wanita berkenaan mendakwa melepaskan anak sulungnya dari dua beradik itu bermain di sekitar kawasannya menjalani temuduga.

"Beberapa minit kemudian, dia mendapati anaknya hilang dan bertindak mencari mangsa sebelum menjumpai anaknya sudah terapung di kolam orang dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihak hotel segera menghubungi ambulans dan mangsa terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, doktor kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati jarak antara tempat temuduga dengan kolam berkenaan kira-kira 30 meter dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 8:33 PM