X
Zuliaty Zulkiffli


"HAJAT arwah suami tercapai juga walaupun hanya 15 minit dia menunggang motosikal Yamaha R15 terpakai yang baru dibelinya daripada seorang kenalan di Kuantan, Pahang.

"Arwah memang dah lama berhasrat membeli motosikal terpakai itu tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia menangguhkan dulu namun apabila dapat, dia pula pergi buat selama-lamanya, " kata Dalila Zolkofli, 27.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dia menemani suaminya, Ahmad Faizal Abdul Ghani, 27, untuk membeli motosikal terpakai berharga RM7,000 yang menjadi idaman daripada rakan arwah di Kuantan.

Dalila berkata, selepas selesai urusan pembelian dilakukan, dia mengekori motosikal suaminya dari belakang dan merakam detik manis suaminya bersama motosikal itu menggunakan telefon bimbit.

"Arwah suami memang seronok dan gembira apabila menunggang motosikal itu untuk pulang ke rumah kami tidak jauh dari situ.

"Dia kemudian hilang dari pandangan apabila kami melalui jalan sesak dan tidak lama kemudian saya nampak orang ramai mengerumuni satu kemalangan tetapi saya tak syak apa-apa sebelum ternampak motosikal suami menyebabkan saya tak sedap hati," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Mawar di Jitra, hari ini.

Dalila berkata, sebaik mendekati kawasan kemalangan di Jalan Permatang Badak, Kuantan jam 1 tengah hari, dia ternampak tubuh suaminya di tepi jalan menyebabkan dia terus memberhentikan kenderaan.

Katanya, dia sempat melihat suaminya memberi reaksi dalam keadaan nyawa-nyawa ikan tetapi separuh sedar sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun doktor mengesahkan suami meninggal dunia jam 12.20 tengah hari Sabtu lalu akibat kecederaan parah.

"Saya tak sangka dia pergi dulu walaupun kami hanya sempat melayari rumah tangga lebih setahun lalu dan arwah seorang suami yang sangat baik dan suka tolong orang," katanya.

Dia berkata, suaminya yang bekerja sebagai juru x-ray di Kuantan sebelum ini menggunakan Honda EX-5 untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Katanya, rakaman video yang sempat diambil pada hari kejadian adalah kenangan yang akan disimpan untuk selama-lamanya.

"Saya luahkan semuanya menerusi Instagram dan Facebook (FB) isi hati yang terbuku selepas kehilangan arwah namun saya perlu tabah kerana ini semua ujian Allah," katanya.

Jenazah Ahmad Faizal dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Baluh, Pendang jam 4 pagi, Ahad lalu.

Dalila berkata, arwah pernah berkata, kehidupannya kini lengkap apabila dia sudah berkahwin, memiliki rumah sendiri dan dapat membeli motosikal baru walaupun terpakai.

Pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata namun mereka sangat bahagia.

"Kami berdua juga sempat menunaikan umrah bersama keluarga pada Februari lalu sebelum PKP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:19 PM
DALILA sempat bergambar dengan arwah suaminya, Ahmad Faizal yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Permatang Badak, Kuantan selepas membeli motosikal terpakai daripada kenalan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DALILA sempat bergambar dengan arwah suaminya, Ahmad Faizal yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Permatang Badak, Kuantan selepas membeli motosikal terpakai daripada kenalan. FOTO Zuliaty Zulkiffli