Baju pengantin Nur Aishah, 21, dan suami yang disunting sehingga tular di media sosial. FOTO ihsan Nur Aishah
Baju pengantin Nur Aishah, 21, dan suami yang disunting sehingga tular di media sosial. FOTO ihsan Nur Aishah
Muhaamad Hafis Nawawi


"HENTIKANLAH membuat andaian dan tuduhan tidak berasas. Gambar itu hanyalah suntingan daripada jurugambar profesional," kata wanita yang ingin dikenali Nur Aishah, 21, selepas gambar perkahwinannya yang dirakam pada Mac lalu tular di media sosial baru-baru ini sehingga dikecam netizen.

Nur Aishah berkata, gambar menunjukkan dia memakai seluar lelaki dan suaminya, Badarudin, 23, memakai kain wanita bukan benar-benar berlaku sebaliknya hanyalah suntingan daripada jurugambar, Hairun Ashrie.

Menurutnya, gambar itu diambil pada 9 Mac lalu di Taman Rimba, Alor Setar pada hari perkahwinannya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Pihak butik pengantin kemudian memuat naik gambar yang disunting itu di Facebook (FB) mereka sebelum ia mula tular di media sosial baru-baru ini sehingga saya dan suami dituduh dengan pelbagai perkara tidak benar.

"Niat pihak butik pengantin terbabit untuk menunjukkan hasil baju yang disewa oleh kami namun tidak sangka begitu jadinya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dia dan suami masih berfikiran waras dan tidak cetek akal hendak bergambar menukar kain dengan seluar semasa sesi fotografi itu.

"Kami masih kenal erti halal dan haram dan hentikanlah kecaman itu dan moga dengan penjelasan saya ini dapat menghentikan salah faham yang terjadi.

"Bukanlah kami yang menyebarkan gambar itu tetapi dari butik yang kami sewa baju semasa berkahwin. Mungkin nampak unik, biasa bagi sesetengah orang tetapi bagi yang baru kenal dunia media sosial, apa yang nampak bagi mereka itulah kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:43 PM