X
SITI Murnie memakai baju hujan dibuat bapanya, Mohd Fauzi. FOTO ihsan Siti Murnie Mohd Fauzi
SITI Murnie memakai baju hujan dibuat bapanya, Mohd Fauzi. FOTO ihsan Siti Murnie Mohd Fauzi
Murnaena Muhammad Nasir


"SAYA menangis ketika meredah hujan, bukan kerana malu tapi terkenang pengorbanan ayah untuk kami sekeluarga," kata penghantar makanan, Siti Murnie Mohd Fauzi yang memakai baju hujan dibuat bapanya menggunakan plastik sampah.

Siti Murnie, 20, tular di media sosial apabila memuat naik gambarnya menunggang motosikal sambil memakai baju hujan plastik sampah buatan bapanya, Mohd Fauzi Kandar, 56, baru-baru ini.

Siti Murnie berkata, bapanya membuat baju hujan itu untuk mengelak dia dibasahi hujan ketika menghantar makan ke rumah pelanggan.

"tindakan spontan ayah menyebabkan saya mengalirkan air mata tanpa sedar," katanya yang membantu perniagaan makanan diusahakan bapanya sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, semasa menghantar makanan ke rumah pelanggan, dia menempuh hampir lima lampu trafik untuk sampai.

"Perasaan malu itu tiada kerana niat utama saya mahu pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan kami, sambil dapat bantu keluarga," katanya.

Graduan Diploma Pengurusan Perniagaan itu turut memasang niat mengembangkan perniagaan keluarganya yang bertapak di Koperasi Kampung Ulu Pulai, Johor.

"Niat sambung belajar ke peringkat ijazah terpaksa saya ketepikan dulu kerana mahu menuruti hasrat ayah meneruskan perniagaan ini yang sudah mencapai usia lima tahun.

"Berkat rezeki tular, jualan semakin meningkat dari hanya berniaga tepi jalan sehingga mempunyai tapak warung sendiri," katanya.

Anak bongsu dari enam beradik itu berkata, bapanya meletakkan harapan tinggi kepadanya memandangkan adik-beradik lain sudah bekerja dan berkahwin.

"Saya tolong ayah di warung sejak tingkatan tiga lagi. Ibu dan adik-beradik lain juga tolong berniaga di warung pada waktu cuti dan selepas pulang dari tempat kerja," katanya.

Dia berkata, bapanya menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis sejak empat tahun lalu.

"Walaupun baru lepas jalani rawatan, ayah tetap datang ke kedai menemani saya berniaga. Semangat dan kecekalan ayah itu punca saya tetap kuat sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 9:31 PM