X
Mohd Jamilul Anbia Md DeninRedzuan Muharam dan Mohd Roji Kawi dan Ahmad Ismail


"KETIKA itu, saya dan semua yang turut serta hanya diberi dua jam untuk bersedia kerana perlu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4 petang sebelum terbang ke Ukraine," ujar mantan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abd Manaf Mat, 62.

Dia yang sudah bersara tahun lalu, pernah diberi mandat mengetuai misi menguruskan jenazah
43 rakyat Malaysia membabitkan mangsa penumpang dan anak kapal MH17 yang terkorban.

Insiden pada 17 Julai 2014 itu berlaku ketika pesawat MH17 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam ditembak jatuh sebelum terhempas berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia.

Nahas itu mengorbankan 298 orang termasuk 15 anak kapal.

Berkongsi pengalamannya, Abd Manaf berkata, beliau hanya dimaklumkan untuk turut serta dalam tugasan MH17 dua jam sebelum bertolak dari KLIA ke Ukraine dengan menaiki pesawat khas.

Biarpun menerima tugasan itu pada saat akhir, Abd Manaf akur kerana sudah bersedia dan menjangkakan khidmatnya diperlukan sebaik tersiarnya laporan berita serta pengesahan pihak berkuasa mengenai insiden berkenaan.

"Masih ingat lagi, sehari selepas insiden berkenaan iaitu selesai solat Jumaat, saya diminta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika itu untuk mengetuai misi menguruskan jenazah rakyat Malaysia, sekali gus terbabit dalam tugasan khas MH17.

"Kami tidak diberikan gambaran sebenar mengenai tugasan itu jadi pelbagai andaian bermain di fikiran antaranya kemungkinan terbabit dalam pengurusan mayat di lokasi insiden dan tidur di khemah sedangkan kesemua petugas diberi menginap di hotel sebaik tiba di Ukraine," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Jenderam Hulu di sini.

Bercerita lanjut, Abd Manaf berkata, dia tidak menyangka akan berada di Ukraine dan Belanda untuk tempoh lama.

"Saya anggap tugasan untuk memandi dan menguruskan jenazah mangsa tragedi MH17 sebagai satu penghormatan selain menyempurnakan tuntutan fardu kifayah selain menjalankan tanggungjawab untuk negara," katanya.

Berkongsi pengalaman menguruskan jenazah di rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage, Belanda, Abd Manaf berkata, hampir semua mayat rakyat Malaysia masih dalam keadaan sempurna dan tidak seperti yang dibayangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 3:02 PM
ABD Manaf (dua dari kanan) memimpin tahlil bersama pegawai Jakim yang bertanggungjawab menguruskan jenazah mangsa MH17 ketika berada di Belanda.
ABD Manaf (dua dari kanan) memimpin tahlil bersama pegawai Jakim yang bertanggungjawab menguruskan jenazah mangsa MH17 ketika berada di Belanda.