SYED Razlan melihat pokok mempelam harummanis di ladang di Kampung Pokok Jawi Abi, Kangar.
SYED Razlan melihat pokok mempelam harummanis di ladang di Kampung Pokok Jawi Abi, Kangar.
Yusmizal Dolah Aling

BIARPUN lahir daripada keluarga DiRaja Perlis, itu tidak menjadi halangan kepada beliau berbakti kepada bidang pertanian yang menjadi minatnya sejak kecil.

Dengan berlatar belakangkan pendidikan dalam bidang matematik, perjuangan untuk memodenkan pertanian khususnya di negeri Indera Kayangan dan tanah air begitu menebal sehingga menyebabkan DATUK SERI SYED RAZLAN JAMALULLAIL 'bertukar bidang' dan mengabdikan diri dalam bidang pertanian yang begitu dekat dengan dirinya.

Mengakui mempunyai fokus dan hasrat untuk memperkasakan keselamatan makanan di negara ini, anakanda kelapan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail itu berkongsi pengalaman serta fokusnya bersama wartawan Yusmizal Dolah Aling untuk Kafe Ahad minggu ini.

Boleh Datuk Seri kongsi sedikit pengalaman bagaimana suasana ketika kecil dan ketika mula menceburkan diri dalam bidang pertanian?

Minat saya di dalam pertanian daripada kecil. Keluarga DiRaja Perlis ini berbeza sikit, kami lebih kepada rapat dengan rakyat ketika saya umur masih kecil. Masa muda, masuk dalam kampung naik gerek (basikal) masuk bendang, kalau jatuh masuk dalam sawah, saya pergi ke rumah terdekat, mandi dengan kawan-kawan di telaga, kemudian balik. Itu cara saya daripada dulu.

Saya belajar sehingga darjah enam di Kuala Lumpur. Ketika itu almarhum ayahanda jadi Yang di-Pertuan Agong, dia ada melawat India dan Pakistan dan tertarik dengan sebuah kolej di Lahore, Pakistan. Itu mirip tentera seperti Maktab Tentera DiRaja kalau kita di sini untuk budak-budak. Saya dihantar ke situ dan dibentuk acuan saya dengan disiplin selama dua tahun setengah sehingga peperangan Pakistan dan India pada 1965.

Selepas daripada itu, saya ke England selama dua tahun dan mula rasa di sana tidak kena dengan jiwa saya. Sehinggalah Setiausaha Sulit Tuanku mengesyorkan supaya saya ke Kolej Pertanian di Serdang kerana dia nampak minat saya lebih cenderung ke situ. Tapi saya diberikan amaran bahawa saya perlu bersedia dengan latihan di situ, perlu berkubang dan sebagainya, tapi saya kata tak apa, saya akan lakukannya.

Bila maklumkan kepada bonda, dia minta saya belajar bidang pertanian di England, saya beri alasan mahu buat pertanian tropika. Kemudian Tuanku kata bagi saya balik. Sementara tunggu masuk ke kolej, saya dihantar masuk ke Penang Free School dan temu duga untuk belajar di Kolej Pertanian selepas itu.

Bagaimana Datuk Seri melihat pertanian sekarang ini?

Pertanian sekarang ini saya nampak kita akan menghadapi masalah yang banyak dan berbeza. Ia berbeza kerana Covid-19, justeru, kita susah dapat pekerja untuk kerja ladang untuk kerja buruh. Jadi kita kena cari apa yang orang putih kata post Covid-19 norm. Kita bercakap mengenai normal baharu, pertanian pun ada normal baharu. Kalau tidak kita takkan berjaya. Kalau kita tengok secara kasar ialah kelapa sawit, memang disasarkan oleh negara barat sebab dia nak jaga minyak sayuran dia. Saya beritahu jangan kita macam dulu bila tak bagus, kita tebang, sebab kita buat kajian dah banyak dah. Rupanya kelapa sawit ni memang tak ada orang boleh lawan kita. Kalau dari segi saiz, memang Indonesia lagi luas, tapi kepakaran kita di dalam penyelidikan kelapa sawit tiada yang boleh banding. Kita sangat kuat dari segi itu.

Penyelidikan kita masih boleh diguna pakai dan maju sehingga orang minta bagaimana nak dapatkan benih yang tulen, mereka minta daripada kita. Kalau kita cakap pasal normal baharu, kita kena buat satu keputusan apa kita nak buat. Kalau kita harapkan cuaca untuk hujan, kita tak tentu bila nak hujan. Jadi kita kena labur dan belanja dari segi pengairan semula dan kita salirkan air itu pada masa tertentu. Kita boleh letak meter di dalam tanah dan kita boleh tahu banyak mana kelembapan dia di dalam tanah, jadi kita tak rugi, kalau hujan lebat pun, tak mengganggu. Kalau kita buat dengan cara ini, kita tak perlu ramai orang untuk membaja dan lain-lain.

Maksud Datuk Seri, kita kurangkan tenaga kerja, tetapi hasil maksimum?

Kita boleh membaja secara sistematik, organik semua. Jadi kita tak rugi. Tiap-tiap pokok akan dapat habuan dia. Berbanding kalau guna cara dulu, pokok di tengah-tengah ladang itu takkan dapat sebab tak sampai pun. Sebab itu kalau kita tengok sesetengah kawasan di tengah akan kurang elok sebab dia tak mahu bawa baja, berat sangat.

Kalau dari segi kumbang, kita boleh guna dron dan artificial intelligence untuk bezakan kesihatan pokok, bila kita tahu warna lain, kita tumpu ke itu saja tak payah kita sembur semua, itu yang kita kata precision algriculture. Jadi kita jangan rugi, membazir nak letak untuk semua. Bukan semua teruk, ada yang tidak. Itu dari segi kelapa sawit.

Bagaimana pula dengan padi, kaedah sama boleh digunakan?

Kita banyak bergantung kepada sistem kita iaitu padi basah. Boleh ke tak kita tukar kepada padi yang kering. Kenapa tak boleh? Jangan kita pegang sangat padi yang menggunakan air berlebihan. Air yang lebih ini kita boleh guna untuk kitar semula untuk minuman, membasuh. Yang ini kita perlu proses semula nak jadi sesuai untuk manusia pula. Jangan kata semuanya nak ke laut, tak ada. Yang pergi ke laut mengandungi racun juga, tapi sistem pengairan ini juga berbeza jenis tanaman berbeza sistem dia. Ini ada juga yang sesuai dan berjaya. Mereka dah buat di negara lain untuk padi. Jadi tak payahlah kita tunggu orang, pasal kadang-kadang kita tunggu. MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) ini nak buka air sekali bagi semua orang dapat. Bila kita buat begitu, tanah ini kena sama rata supaya semua dapat. Kalau kawan kita tu tinggi, dia susah dapat ataupun lambat sebab tanah dia tinggi. Dengan pengairan semula ini, semua akan dapat dengan jumlah yang berpadanan.

Kadang-kadang kita pula ada hal, nak pergi makan kenduri, jadi air tak boleh buka dan orang lain pula kena tunggu. Jadi kita kena ubah semua ini. Elok kita guna waktu Covid-19 ini untuk kita cantumkan semua bendang ini jadi satu kawasan pertanian. Idea saya ini timbul sebelum ini lagi. Kita tak rugi kerana bila kita cantumkan, kita tak hilang hak milik. Tapi kita untung dari segi kerana batas kita sudah buang. Batas saja sudah berapa kaki persegi. Kalau kawasan sawah yang luas boleh jadi berapa ribu ekar. Saya tengok dari segi orang kita ini, yang dia penting anak cucu dia pergi universiti, dia sendiri nak buat umrah, buat haji. Dia jual kepada orang Melayu. Soalnya betulkah kepada orang Melayu atau orang Melayu hanya di depan saja. Bila dia balik, dia sudah dapat ganjaran ibadatnya, tetapi tanah sudah tidak ada. Jadi dia hanya dapat puas hati saja, tetapi tak dapat jaga anak cucu dia.

Cadangan saya, kita cantumkan dan bagi pada satu syarikat yang mampu dan boleh bekerja sebagai pekerja syarikat dan hasil ini ikut keluasan dia. Katakan saya ada lima ekar. Lima ekar ini bila dinilai katakan boleh dapat 70 peratus saja pinjaman. Katakan boleh dapat Bank Pertanian, letak supaya dia boleh pergi haji. Bila dia balik hak milik masih dia punya, projek pun jalan dan hasil ini bayar balik kepada bank, tanah tak hilang. Dia dah jadi hak milik keluarga.

Apakah ada syarat lain kepada mekanisme ini, pandangan Datuk Seri?

Saya rasa mesti ada satu mekanisme di mana kita galakkan mereka tanam padi. Oleh kerana kita yang galakkan dia, jangan ubah syarat jadi pembangunan. Kita kena bagi dia satu insentif kerana dia sanggup nak teruskan. Kalau tak bagi saya rasa tak adil kerana orang sebelah dah dapat keuntungan. Tapi dapat cepat, habis cepat. Makanan utama kita adalah beras. Thailand pun dah tak bekalkan kepada kita kerana dia pun perlu. Saya tahu China. Bila Covid-19 datang mereka beli 700 juta tan serta-merta dari seluruh dunia. Dia tahu ada berjuta mulut yang perlu diberi makan. Kita bagaimana, kita tak boleh buat semua untuk selesai masalah. Saya pernah tengok di China dulu, mereka boleh ambil beras, letak mineral, vitamin kerana dia ada jutaan penduduk. Maksud saya dia boleh bagi satu makanan yang nutrisinya tinggi.

Apakah harapan Datuk Seri dalam sektor ini?

Kita boleh pergi jauh dan kita memang pakar dalam bidang pertanian ini. Cuma sejauh mana kita mahu berubah, mahu dengar idea dan pandangan orang. Inilah masanya, kita perlu gunakan waktu pandemik ini untuk kita merubah semula pertanian kita sampai ke tahap paling gemilang bukan untuk menunjuk kepada sesiapa, tetapi untuk memberikan bekalan kepada lebih 30 juta penduduk Malaysia. Keselamatan makanan satu aspek yang penting. Kita ada segala-galanya di bumi Malaysia, kita perlu ubah pendekatan kita yang sudah sebati bersama kehidupan kita sejak puluhan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 9:30 AM