Amir Abd Hamid


PREBET Ujang Mormin yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada tahun depan dipercayai satu-satunya veteran Perang Dunia Kedua yang masih hidup di negara ini dalam hayat sebegitu.

Perjuangan Ujang bersama Allahyarham Leftenan Adnan Saidi menentang tentera Jepun di Singapura diperakui kerajaan British yang mengurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan dari 1939 hingga 1945 selain dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia.

Leftenan Adnan gugur pada 14 Februari 1942 dalam pertempuran di Bukit Chandu manakala Ujang yang mempertahankan kubu di Bukit Chermin mengalami kecederaan akibat serpihan meriam musuh.

Dalam usia lanjut dan sudah menghadapi masalah pendengaran serta pertuturan, lelaki dilahirkan 14 Jun 1921 di Rembau, Negeri Sembilan itu tetap bersemangat mengajak anak muda negara untuk menyertai tentera.

Keuzurannya menyebabkan sesi temu bual bersama wartawan Metro Ahad terpaksa dilakukan dengan cara menulis perkataan bersaiz besar di atas kertas untuk dibaca dan dia menjawab soalan itu yang adakala diselanginya dalam dialek Negeri Sembilan.

Kini, Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan umpama rumahnya kerana dia yang juga tiada upaya berjalan itu dijaga sepenuhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Temu bual antara Ujang bersama wartawan di hospital itu hanya berlangsung beberapa minit sebab terpaksa ditamatkan awal berikutan keadaan beliau yang letih dan uzur.

Ikuti temu ramah yang diaturkan Pengerusi Koperasi Bekas Warga Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja, Kapten (B) Datuk Mohd Awal Nordin dengan kerjasama HAT:

UJANG berkongsi foto kenangan ketika menyertai tentera. FOTO Aizuddin Saad
UJANG berkongsi foto kenangan ketika menyertai tentera. FOTO Aizuddin Saad

Wartawan: Apa khabar?

Ujang: Khabar baik. Sihat.

Wartawan: Ada petua jaga kesihatan?

Ujang: Petua takdo, macam biaso. Tak ado apo yang tak boleh (tiada pantang).

Wartawan:Tadi masa saya datang, lihat Tok Ujang tengah baca surat khabar.

Ujang: Tulisan yang kecil tak boleh nak baca (sambil membelek akhbar). Mata dan telinga (sambil memegang kedua-dua alat deria itu) sudah semakin lemah.

Wartawan: Difahamkan, teringin nak ke Makkah sebab tak pernah jejak kaki ke sana?

Ujang:Hati itu hendak sangat, tetapi itulah tak boleh berjalan. Macam mana nak sampai. Pergi bukannya tak boleh pergi, tetapi badan tak sempurna (uzur). Nak ambil air sembahyang pun payah, duduk atas kerusi.

Wartawan: Apa nasihat kepada rakyat Malaysia?

Ujang: Saya seru anak muda untuk masuk askar. Jangan takut. Saya pun masuk askar pun bukannya orang suruh, hati sendiri mahu. Jaga negara, jaga agama.

Wartawan: Ada rindu dengan sesiapa?

Ujang: Sekarang ini tiada yang nak dirindukan. Pihak hospital...kawan-kawan datang yang ketika ini menjaga. Saya jadi keluarga hospital. Waktu pagi akan buat senaman. Kaki tak boleh berjalan, kena guna kerusi roda.

Wartawan kemudian menghentikan perbualan memandangkan Ujang kelihatan letih sebelum pahlawan negara itu menunjukkan beberapa gambar kenangan.

Wajahnya sayu apabila memegang gambar pingat yang dia peroleh atas perjuangan sebagai tentera sambil memberitahu ada yang sudah hilang.

PENGURUS Besar MKH Berhad, Ahmad Yani menyampaikan sumbangan kepada Ujang ketika ditemui di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju. FOTO Aizuddin Saad
PENGURUS Besar MKH Berhad, Ahmad Yani menyampaikan sumbangan kepada Ujang ketika ditemui di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Mohd Awal berkata, Ujang pernah dua kali berkahwin dan ada empat cahaya mata.

"Kedua-dua isterinya dan tiga anak sudah meninggal dunia manakala seorang lagi gagal dikesan dipercayai juga sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, Ujang memulakan karier ketenteraan dalam perkhidmatan Tentera British pada 1939 dan kemudian 1942 diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebagai prebet.

"Pada hari malam Singapura jatuh kepada Jepun, ketua kompeninya memberitahu bahawa ada dua pilihan iaitu menyerah diri sebagai tawanan perang atau buka seragam tentera menyeludup keluar dan balik kampung. Ujang mengambil pilihan kedua dengan menyeludup keluar dari Singapura menggunakan kereta api kemudian pulang di kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan," katanya.

Bercerita mengenai kesihatan Ujang, katanya, ketika berusia 92 tahun veteran perang itu masih boleh memandu kereta, namun ketika berusia 94 tahun patah tulang pinggul akibat terjatuh di bilik air hingga terpaksa bergerak dengan kerusi roda sampai hari ini.

UJANG ketika menyertai RAMD. FOTO Aizuddin Saad
UJANG ketika menyertai RAMD. FOTO Aizuddin Saad

Berjuang selepas 4 bulan sertai latihan tentera

Berjuang mengekang kemaraan serangan ketumbukan askar Jepun di Singapura ketika tentera negara matahari terbit itu agresif menawan sebahagian besar rantau Asia-Pasifik ketika Perang Dunia Kedua adalah pengalaman paling berharga buat Prebet Ujang Mormin, 99.

Tambahan pula, pada ketika itu, dia baru empat bulan selepas menyertai latihan tentera di Port Dickson pada 1941 sebelum dihantar ke Gap Ridge, Singapura sebaik Jepun menyerang Tanah Melayu.

Anggota veteran Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja itu berada dalam batalion sama dengan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika pertempuran Pasir Panjang, Bukit Chermin dan Bukit Candu berlaku.

Kubu itu adalah benteng pertahanan terakhir pasukan pertahanan British di bawah Leftenan Jeneral Arthur Percival dan pasukan penyerang Jepun (Tentera Darat Ke-25) yang diperintah Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di pulau Singapura.

"Kubu yang kami jaga adalah kubu terakhir di Singapura. Saya berjuang bersama Leftenan Adnan Saidi yang berkubu di Bukit Candu, Pasir Panjang dan pada masa sama, saya bersama kompeni yang ditempatkan di Bukit Chermin.

"Selama berhari-hari menghalang kemaraan Jepun, kami putus bekalan makanan sebelum terpaksa berundur ke dalam hutan di Singapura sebaik mendapat berita Leftenan Adnan gugur dalam pertempuran pada 14 Februari 1942," kata Ujang.

Kisah Ujang itu dibacakan semula Pengerusi Koperasi Bekas Warga Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja, Kapten (B) Datuk Mohd Awal Nordin yang mengaturkan pertemuan wartawan Harian Metro bersama Ujang di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini.

Ujang berkata, selama lebih seminggu berundur dan mempertahankan diri, dia dan rakan seperjuangan tiada masa untuk memikirkan makan, apatah lagi keluarga.

Apabila serangan Jepun berhenti seketika, waktu itulah, mereka mencari apa saja makanan yang ada dan paling banyak dimakan adalah ubi mentah yang dijumpai dalam hutan.

"Dalam pertempuran, beberapa rakan lain tumbang terkena tembakan, tetapi tiada apa yang terdaya dibuat selain melihat saja jasad mereka rebah.

"Malah, saya sendiri cedera di jari akibat letupan dan serpihan meriam musuh. Paling menyedihkan terpaksa menggali kubur rakan yang terkorban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 10:00 AM