Wartawan HM

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Ahmad Bache membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman terhadap Najib.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Najib, memfailkan permohonan menangguhkan prosiding saman oleh LHDN, namun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

NAJIB Razak. FOTO Arkib NSTP
NAJIB Razak. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 3:50 PM