SITI Nurhidayah Mohd Ali (kiri) bersama adik iparnya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SITI Nurhidayah Mohd Ali (kiri) bersama adik iparnya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


SEWAKTU anak sulungnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey berusia tiga bulan, pelakon dan pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey, ada menyatakan keinginan untuk berniaga kedai makan bersama isterinya, Siti Nurhidayah Mohd Ali, 28.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, pada 10 Februari lalu.

Hari ini, Nurhidayah bangkit dari kesedihan bagi merealisasikan hasrat Allahyarham dengan berniaga cempedak goreng di tepi jalan di Pekan Sabak, Sabak Bernam.

Bercerita lanjut, Nurhidayah berkata, pada awalnya Allahyarham bercadang mencari kedai makan untuk berniaga masakan panas bersamanya.

"Arwah ada menyatakan hasrat untuk berniaga. Namun, memandangkan anak masih kecil, saya kata tunggu anak besar dulu baru boleh berniaga.

"Namun, hasrat itu (berniaga) tertangguh apabila arwah pergi menghadap Ilahi," katanya ketika ditemui, hari ini.

SITI Nurhidayah Mohd Ali bersama anaknya, Hamzah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SITI Nurhidayah Mohd Ali bersama anaknya, Hamzah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Menurut Nurhidayah, dia tidak mahu menoleh ke belakang kemudian membantu bapanya, Mohd Ali Bahtin, 70, berniaga durian di Pekan Sabak sebelum memulakan perniagaan cempadak goreng.

"Saya berniaga bersama adik ipar, Nor Farhana Nordin, 21, sejak awal bulan ini dan tidak menyangka cempadak goreng yang dijual mendapat sambutan orang ramai.

"Saya ketepikan perasaan kekok dan malu demi mencari rezeki halal dan dalam masa sama membesarkan Hamzah yang kini berusia setahun," katanya yang menetap di Taman Air Manis, Sabak Bernam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan Aidiladha yang akan tiba tidak lama lagi, Nurhidayah berkata, dia dan Hamzah akan menyambut perayaan itu dalam suasana sederhana bersama keluarga.

"Diam tak diam, sudah lima bulan arwah meninggalkan kami berdua. Sampaikan Hamzah sudah lancar menyebut perkataan 'ayah'.

"Meskipun arwah sudah tiada di samping kami, saya berdoa supaya rohnya ditempatkan bersama orang beriman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:54 PM