(Gambar kiri) Orang ramai membantu mangsa. (Gambar kanan) Keadaan motosikal suspek yang dilanggar mangsa. FOTO ihsan polis
(Gambar kiri) Orang ramai membantu mangsa. (Gambar kanan) Keadaan motosikal suspek yang dilanggar mangsa. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG wanita nekad mengejar sebelum merempuh motosikal peragut yang memecahkan cermin keretanya di lampu isyarat susur keluar bulatan Hillview, Hulu Kelang, hari ini.

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, wanita yang memandu Perodua Axia dihampiri dua lelaki yang menaiki Yamaha 125Z ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, dua lelaki berkenaan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa di bahagian hadapan sebelah kiri kereta dan terus mengambil beg galas mangsa.

"Mangsa kemudian bertindak mengejar motosikal suspek sehingga sampai ke simpang tiga Jalan AU 2C dan melanggar motosikal dinaiki suspek.

"Pegawai polis yang berada di tempat kejadian dan orang awam berjaya menangkap kedua-dua suspek dan barang milik mangsa dirampas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dengan dua kes samun pada hari yang sama iaitu samun telefon pintar di Jalan Pandan Indah 4/2 dan pecah cermin kereta jenis Peugeot di hadapan Hotel Flamingo.

"Kedua -dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:18 PM