SHAHIDA (empat dari kiri) bersama suami dan anak mereka.
SHAHIDA (empat dari kiri) bersama suami dan anak mereka.
Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: "Kami bukan kluster kayangan yang banyak duit pergi melancong seperti yang di sangka kebanyakan orang.

"Suami saya kehilangan kerja dan hilang punca pendapatan, kalau ada duit pun kami perlu simpan menyambung hidup untuk tempoh sebulan dua di Malaysia kerana tak tahu bila suami akan dapat pekerjaan baharu," kata Shahida Kamarul Baharen, 44.

Shahida antara 200 rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi dan masih menantikan tarikh penerbangan khas untuk pulang ke tanah air selepas suaminya kehilangan kerja susulan penularan Covid-19 yang melanda negara timur tengah itu.

Menurut Shahida, banyak syarikat di negara itu membuang pekerja termasuk tempat suaminya bekerja kerana mengalami masalah teruk dari segi pemasaran.

"Suami antara yang terkesan dan bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai pemeriksa peralatan kilang dan jentera pada penghujung bulan depan.

"Kami perlu berjimat cermat untuk keperluan penting saja kerana mengharapkan suami menanggung sara hidup termasuk lapan anak berusia antara tiga hingga 21 tahun yang masih belajar," katanya.

Katanya, mereka menghadapi masalah kos sara hidup tinggi di Arab Saudi.

"Kerajaan Arab Saudi mengenakan cukai dikenali sebagai yuran defendan iaitu setiap ahli keluarga dikenakan bayaran bulanan 400 Riyal ( RM454.58) selain pelaksanaan sistem cukai nilai tambah (VAT) 15 peratus.

"Sudah tentu ini semua membebankan kami apatah lagi terpaksa menanggung tiket pesawat yang mahal akibat Covid-19.

"Bayangkan anggaran untuk kami 10 beranak saja untuk situasi biasa menelan belanja hampir RM50,000 untuk semua perbelanjaan termasuk sara hidup, pengangkutan udara dan darat," katanya.

Suri rumah itu berkata, mereka merujuk masalah dialami kepada Kedutaan Malaysia dan masih menanti tarikh penerbangan khas pulang ke Malaysia.

"Kami bukan saja berdepan bebanan kewangan sara hidup tinggi dan kos cukai dikenakan kerajaan Arab Saudi, tetapi di Malaysia kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:40 AM