Murnaena Muhammad Nasir

"WALAUPUN tidak sempurna seperti insan lain tetapi meminta sedekah bukanlah pilihan saya," kata Norazmin Abu yang cacat kedua belah kakinya sejak lahir.

Norazmin, 49, sanggup membanting tulang dengan menjual sambal dengan jenama Sambal Garing Tok Mi di beberapa lokasi antaranya perhentian bas Pasar Seni, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek dan berhampiran pusat beli-belah Sogo agar tidak dilabel sebagai peminta sedekah .

"Jika saya berjaya dalam perniagaan ini, saya mahu membantu orang lain terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU) senasib.

"Itulah impian saya yang mahu menolong orang lain seperti penceramah terkenal Ebit Lew," katanya.

Sambal yang dijual Norazmin. Foto Murnaena Muhammad Nasir
Sambal yang dijual Norazmin. Foto Murnaena Muhammad Nasir

Menurutnya, dia mahu masyarakat mengenali OKU mampu mencari pendapatan sendiri dan bukannya hanya tahu mengemis.

"Saya berada di tepi tangga, perhentian bas dan kadang-kadang membentang jualan di lantai bukanlah tujuan untuk mengemis tetapi berniaga demi mencari rezeki untuk menyara diri sendiri tanpa menyusahkan orang lain.

"Saya harap orang ramai yang melihat OKU berniaga menyokong usaha mereka dan bukanlah menghina atau mengusir," katanya yang menjual sambal sejak 2003 lagi.

Dia yang menyewa rumah di Kepong bersama adik perempuannya memasak sambal berkenaan setiap hari demi menjaga kualiti.

"Saya masak sambal pada 6 pagi bersama adik saya dan akan keluar rumah pada 12 tengah hari untuk dijual sekitar lokasi tumpuan di Kuala Lumpur.

"Saya menjual tujuh jenis sambal berlainan daripada tempe, kentang, ayam, geragau, daging, petai dan ikan bilis," katanya.

Ditanya adakah dia mendapat bantuan daripada pihak berkaitan, Norazmin berkata, wang bantuan berkenaan dijadikan modal untuk berniaga.

"Wang hasil jualan sebahagiannya saya gunakan untuk membayar sewa rumah, bil dan belanja keperluan harian.

"Saya juga ada buat simpanan supaya saya boleh memiliki kedai sendiri suatu hari nanti," katanya.

Ahmad Norrizman dan Nur Almass bersama anak mereka. (Gambar kanan) Ahmad Norrizman di sisi mayat isterinya. Foto Ihsan Pembaca
Ahmad Norrizman dan Nur Almass bersama anak mereka. (Gambar kanan) Ahmad Norrizman di sisi mayat isterinya. Foto Ihsan Pembaca

Selain itu, dia juga menerima bantuan daripada orang ramai terutamanya komuniti di kawasan Masjid Jamek.

"Contohnya, kerusi roda elektrik yang saya gunakan ini juga hadiah daripada seorang hamba Allah yang berhati mulia," katanya.

Dalam memastikan kejayaan bisnesnya itu, Norazmin berkata, dia turut menggunakan platform perniagaan di Whatsapp dan Facebook.

Terdahulu, seorang pengguna memuat naik gambar Norazmin menjual sambal di Twitter dan mendapat perhatian warganet untuk sama-sama menyokong perniagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 9:35 PM