Norzamira Che Noh
[email protected]metro.com.my

KUMPULAN penjenayah yang dikenali sebagai 'The Mask Man' yang aktif melakukan jenayah samun dalam rumah tumpas apabila enam ahli kumpulan itu ditahan polis, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, kumpulan itu sangat berbahaya kerana melakukan samun dalam rumah dengan bersenjatakan pistol dan parang serta akan memakai topeng karakter 'Vendetta'.

Menurutnya, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan kumpulan berkenaan dan pada Isnin lalu seorang lelaki yang juga ahli kumpulan terbabit berjaya ditahan di Pusat Bandar Puchong.

"Susulan tangkapan itu, kita berjaya menahan lima lagi suspek dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di Klang, Puchong, Selayang dan Shah Alam.

"Hasil risikan yang dijalankan mendapati kumpulan itu terbabit dengan sekurang-kurangnya 50 kes samun di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Fadzil (kanan) menunjukkan barang kes samun kumpulan ‘Ther Mask Man’ yang dirampas ketika sidang media di IPK Selangor hari ini. Foto Muhd Asyraf Sawal
Fadzil (kanan) menunjukkan barang kes samun kumpulan ‘Ther Mask Man’ yang dirampas ketika sidang media di IPK Selangor hari ini. Foto Muhd Asyraf Sawal

"Jumlah kerugian mangsa samun di ketiga-tiga kontinjen itu dianggarkan lebih dari RM1.5 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol serta 16 peluru hidup, beberapa senjata tajam, topeng, sarung tangan dan pita pelekat.

Katanya, polis turut merampas sembilan kenderaan pelbagai jenama yang dipercayai digunakan ketika melakukan samun.

"Modus operandi kumpulan penjenayah ini adalah menjadikan rumah yang berpenghuni sebagai sasaran jenayah.

"Dengan tumpasnya kumpulan ini , kita percaya berjaya menyelesaikan lebih kurang 40 kes di Selangor, dua kes di Negeri Sembilan dan enam kes di Kuala Lumpur," katanya.

Fadzil berkata, semua tangkapan berkenaan berusia 27 hingga 31 tahun itu direman dua hari mengikut seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 5:01 PM