Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


LAPAN kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu dalam negara sebanyak 8,964 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warga Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Katanya, tiga kes import itu adalah dari Kazakhstan (satu kes di Selangor), Indonesia (satu kes di Kedah) dan Filipina iaitu satu kes di Sabah.

"Lima kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warga Malaysia. Ia membabitkan satu kes saringan di sebuah pusat perubatan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang.

"Di Sabah ada tiga kes iaitu satu kes saringan rujukan ke hospital di Hospital Queen Elizabeth, satu kes saringan hospital di Hospital Queen Elizabeth dan satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tawau," katanya dalam sidang media hari ini.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, setakat tengah hari ini, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mencatatkan lima kes yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad, dengan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 8,617.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 5:37 PM