Jemaah haji lontar jamrah guna batu dinyah cemar
Jemaah haji lontar jamrah guna batu dinyah cemar
AFP

Makkah: Jemaah haji kali ini melontar jamrah menggunakan batu yang dinyah cemar dalam usaha pihak berkuasa Arab Saudi mencegah penularan wabak Covid-19.

Dalam keadaan panas terik, jemaah haji melintasi Lembah Mina berhampiran Makkah di barat Arab Saudi melontar jamrah dengan diawasi pasukan keselamatan.

Semua jemaah dilihat memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan sosial dengan pihak berkuasa yang menguruskan ibadah haji menyediakan batu kerikil yang dinyah cemar terlebih dulu.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, hanya 10,000 jemaah haji dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini berbanding 2.5 juta orang tahun lalu.

Raja Salman Abdulaziz Al Saud, 84, bertitah sebaik dibenarkan keluar hospital selepas selamat menjalani pembedahan radang hempedu berkenaan situasi berbeza haji kali ini.

"Melaksanakan ibadah haji tahun ini di tengah-tengah pandemik menyebabkan pengurangan bilangan jemaah, tetapi menuntut kewajipan pegawai pelbagai agensi meletakkan usaha berganda kali ini.

"Haji tahun ini mengehadkan jumlah jemaah daripada pelbagai negara untuk memastikan ibadah ini dapat disempurnakan walaupun dalam keadaan sukar," titah baginda yang disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 6:30 AM