ANTARA laporan mengenai kluster PUI Sivagangga.
ANTARA laporan mengenai kluster PUI Sivagangga.
Noorazura Abdul Rahman


LIMA sekolah dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah yang terbabit dengan kluster PUI Sivagangga diarah tutup bermula hari ini sehingga 29 Ogos depan.

Jabatan Pendidikan Kedah dalam kenyataan, malam ini berkata, sekolah itu ialah sekolah menengah harian berasrama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba dan SMK Megat Dewa.

Katanya, tiga lagi sekolah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, SK Megat Dewa dan SK Kubang Palas.

"Semua sekolah terbabit diarah tutup berkuat kuasa serta-merta mulai 2 Ogos sehingga 29 Ogos ini. Tarikh ini melibatkan 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari lagi pemerhatian.

"Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat menangani kluster PUI Sivagangga, hari ini bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Targeted Enhancement Movement Control Order (TEMCO) di empat mukim yang terjejas dengan Covid-19.

Katanya, mukim terbabit adalah Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu serta Kampong Ulu, Padang Sanai di daerah Padang Terap.

"Justeru, guru-guru yang tinggal di kawasan TEMCO tidak dibenarkan untuk hadir bertugas sama sekali.

"Guru yang tinggal di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan untuk ke sekolah di kawasan TEMCO, manakala guru yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO, tetapi perlu melalui kawasan TEMCO adalah dibenarkan," katanya.

Katanya, pengecualian hanya diberi kepada perkhidmatan penting, namun tertakluk oleh perubahan yang akan diputuskan di peringkat pusat.

Berita berkaitan

Covid-19: 8 kes Kluster PUI Sivagangga

Kluster Sivagangga: Satu keluarga dijangkiti Covid-19?

2 keluarga pelanggan restoran Kluster PUI Sivagangga

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 9:19 PM