EDO (berbaju kuning) dan rakannya ketika melakukan prank itu.
EDO (berbaju kuning) dan rakannya ketika melakukan prank itu.
Agensi

Palembang: Seorang YouTuber dari Palembang, Sumatera Selatan tergamak melakukan prank memberi plastik sampah yang kononnya berisi daging korban.

Portal Kompas melaporkan plastik itu yang diberi kepada dua wanita sebenarnya berisi sampah.

Akibatnya, YouTuber dengan nama Edo Putra dan seorang rakannya yang terbabit kejadian ditahan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan, Edo memuat naik video prank bertajuk Prank Bagi-Bagi Daging ke Emak-Emak Berisi Sampah itu beberapa hari lalu.

Menerusi video berdurasi 11 minit 57 saat itu, Edo dilihat mengagihkan bungkusan plastik kepada dua wanita.

Kedua-dua wanita yang menjadi mangsa prank berkenaan pada mulanya kelihatan gembira dan berterima kasih kepada Edo.

Bagi memastikan misinya berjaya, Edo meminta bungkusan itu dibuka selepas dia beredar dari situ.

Bagaimanapun, kedua-dua wanita itu ternyata terkejut selepas melihat plastik itu hanya mengandungi sampah.

Edo kemudiannya kembali kepada wanita itu untuk meminta maaf dan menyerahkan 500,000 Rupiah (kira-kira RM144) kepada mereka untuk membeli daging.

Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 781,000 tontonan dengan 154,000 tanda tidak suka.

Rata-ratanya mengecam perbuatan Edo serta rakannya yang disifatkan keterlaluan kerana dilakukan ketika sambutan Aidiladha.

Susulan kejadian, Edo dan rakannya ditahan pihak berkuasa.

Penahanan mereka disahkan oleh Ketua Polis Palembang , Anom Setiyadji.

Sebelum ini, seorang YouTuber dari lndonesia, Ferdian Paleka turut ditahan polis negara itu kerana melakukan prank memberi bungkusan berisi tauge busuk dan batu kepada gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 7:01 AM