Muhd Rizq memuat naik video di Youtube mendeklamasikan sajak dalam bahasa Mandarin dan pantun dalam bahasa Melayu sebagai ucapan khas ulang tahun buat Tunku Azizah. FOTO ihsan pembaca
Muhd Rizq memuat naik video di Youtube mendeklamasikan sajak dalam bahasa Mandarin dan pantun dalam bahasa Melayu sebagai ucapan khas ulang tahun buat Tunku Azizah. FOTO ihsan pembaca
Murnaena Muhammad Nasir


"PATIK amat berbesar hati dan berharap supaya Tunku berkenan menerima hadiah ini kerana sesungguhnya penerimaan Tunku adalah hadiah terbesar dan bermakna buat patik," kata Muhd Rizq Abdul Aziz, 33.

Itulah harapan seorang pencinta bahasa yang memuat naik video ucapan ulang tahun buat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kali ke-60 yang disambut semalam.

Menariknya, video ucapan yang dimuat naik di Youtube itu menggabungkan bahasa Melayu dan Mandarin serta tulisan jawi dan cina.

"Saya menulis pantun menggunakan kaligrafi jawi serta sajak dalam kaligrafi Cina itu sebagai tanda penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong yang berjiwa rakyat.

"Ia juga sebagai tanda penghormatan kepada baginda yang sentiasa membela dan memperjuangkan martabat tulisan jawi," katanya.

Bagi Muhd Rizq, bulan Ogos adalah bulan yang bermakna buatnya kerana terdapat tiga hari istimewa.

"Bulan Ogos antara hari yang saya nantikan kerana terdapat tarikh-tarikh penting antaranya Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan hari Keputeraan Tunku Azizah pada 5 Ogos.

"Malah, kebetulan sepuluh hari selepas ulang tahun baginda adalah hari jadi saya. Ini yang membuatkan saya teruja dalam pembikinan video berkenaan," katanya.

Ditanya mengenai kemahiran beliau dalam bahasa Mandarin, Muhd Rizq berkata, dia menerima pendidikan bahasa Cina di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan.

"Sebelum video dimuat naik, saya praktis dahulu menulis kaligrafi Cina memandangkan saya sudah lama tidak menulisnya dan kali terakhir pada 1999 iaitu 21 tahun lalu.

"Saya juga merujuk kepada rakan-rakan yang pakar dalam bidang kaligrafi Cina," katanya.

Katanya, dia menerima sebarang komen terhadap kaligrafi Cina yang ditulisnya secara terbuka.

"Saya tidak mempunyai darah kacukan dan adalah anak jati Melayu. Saya minta maaf jika tulisan Cina itu tidak cantik kerana kepakaran saya bukannya dalam bidang bahasa, sastera, seni atau kaligrafi," kata pelajar tahun tiga pengajian Undang-Undang Perbankan Islam di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Dia yang juga peguam dan bekas pensyarah yang menguasai empat bahasa termasuk bahasa Mandarin dan Arab itu berkata, mempelajari banyak bahasa mampu memberi kelebihan kepada seseorang itu.

"Ia bukan satu kewajipan namun saya amat menggalakkan orang ramai mempelajari bahasa selain bahasa ibunda.

"Saya sendiri sentiasa beritahu pelajar saya mahir dalam bahasa Mandarin bukannya semata-mata tiket untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

"Mempelajari sesuatu bahasa itu sebenarnya untuk kita lebih mengenali budaya mereka dan seterusnya membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat pelbagai kaum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 9:00 PM